AKTRES terkenal Indonesia, Aghniny Haque mendedahkan dia terpaksa menahan sakit ditampar Datuk Remy Ishak ketika menjayakan babak dalam filem Khadam.
Menurut Aghniny babak tersebut terpaksa dilakukan berulang kali sehingga meninggalkan kesan merah pada pipinya.
“Untuk babak saya ditampar Datuk Remy, ada banyak sudut yang perlu diambil. Jadi lebih kurang 25 kali saya ditampar.
Memang sakit dan ada kesan merah di pipi saya. Saya sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi babak saya ditampar,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Khadam, di sini, semalam.
Tambah pelakon yang mencipta populariti menerusi filem KKN Desa Penari itu lagi, dia bangga dapat membintangi filem Khadam kerana julung kali terlibat dengan produksi antarabangsa.
“Saya berterima kasih kepada penerbit dan pengarah kerana memberi peluang serta percayakan bakat saya. Sangat teruja dan bersyukur kerana ini filem antarabangsa saya yang pertama.
Berlakon bersama produksi di Malaysia merupakan pengalaman indah buat saya. Orang Malaysia sangat ‘hangat’. Mereka juga sangat ramah dan saling menghormati.
“Untuk pengetahuan kalian, kalau di Indonesia, jika berlakon dalam filem seram, kru produksi yang terlibat sekitar 200 orang dan penggambaran mengambil masa selama 18 hari.
Tetapi untuk filem Khadam hanya sekitar 60 kru sahaja. Dan itu membuatkan ‘bonding’ antara kami lebih rapat. Saya juga jalani penggambaran selama 32 hari di mana menurut saya produksi filem ini benar-benar serius,” jelasnya.
Kongsinya lagi, dia banyak perkara baharu dipelajari tatkala menjayakan watak wanita bisu bernama Melur.
“Watak Melur sangat bermakna untuk saya. Sebagai seorang pelakon saya banyak belajar daripada pengalaman melakonkan watak ini. Ibarat masuk ‘masterclass’.
Saya rasa selesa berada di depan kamera tanpa dialog kerana watak ini. Terima kasih kepada Abang Shamyl (pengarah) kerana mencipta ruang untuk saya berkarya bersama,” kongsinya.
Filem Khadam yang turut dibintangi Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Zarra Zaff dan Karl El mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai hari ini. – HIBGLAM
