KEHADIRAN bintang seberang, Aghniny Haque di Malaysia menyerlahkan satu sisi berbeza dalam porfolio seninya.
Dikenali menerusi watak lasak dan seram, pelakon berusia 29 tahun itu mengakui naskhah terbaharunya, Khadam memberikan satu tamparan hebat sebagai seorang pelakon.
Mana tidaknya, menerusi naskhah yang bakal ditayangkan pada 11 Jun kelak, Aghniny bukan sahaja perlu buang jauh pesona fizikalnya malah diuji menterjemahkan emosi watak Melur tanpa sepatah bicara.
“Saya tiada dialog dan itu cabarannya. Ini pertama kali saya jadi ibu dan wanita bisu.
Di sini saya belajar banyak benda termasuk menyampaikan emosi tanpa bergantung kepada dialog.
“Semua emosi benar-benar dari pergerakan badan, ekspresi wajah dan cara pernafasan,” katanya.
Menyentuh debaran sebelum melangkah ke set penggambaran, anak kelahiran Semarang, Indonesia itu berkata, wujud kerisauan dalam hatinya untuk membina keserasian dengan pelakon tempatan.
Bagaimanapun, segala kebimbangan tersebut lebur sejurus penggambaran bermula.
“Jujur saya lega sangat. Mulanya saya penat macam mana nak berlakon dan wujudkan kemesraan dengan pelakon.
Tapi sebaik sahaja masuk set penggambaran, segalanya ‘mengalir’ begitu saja. Secara semula jadi, memang sangat mudah,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, pengalaman berinteraksi dengan pelakon kanak-kanak turut mengasah satu emosi baharu dalam diri Aghniny yang sebelum ini jarang diteroka.
Saya fikir saya tak pandai berinteraksi dengan kanak-kanak. Tapi ternyata apabila bersama mereka, saya rasa cinta seperti seorang ibu.
“Kami berjaya wujudkan kemesraan dan apa yang akan dipertontonkan nanti bukan lagi lakonan tapi rasa sebenar ibu kepada anak-anaknya,” tuturnya lagi.

AGHNINY tidak kekok berlakon di sisi Siti Khadijah dan Remy Ishak dalam filem Khadam bahkan keserasian itu berjaya dibina dari hari pertama penggambaran.
Lebar sayap ke Malaysia
Aghniny sempat menzahirkan rasa terharu atas sokongan tidak berbelah bahagi peminat di Malaysia yang menjadi jambatan utama buat dirinya melebarkan sayap ke negara ini.
“Sejujurnya, saya tidak dapat menggambarkan betapa bersyukurnya berada di sini. Peluang ini mungkin hadir kerana filem-filem saya sebelum ini mendapat sambutan hangat di Malaysia, antaranya KKN di Desa Penari, Pemandi Jenazah dan Tuhan, Izinkan Aku Berdosa.
Disebabkan faktor itu dan sokongan peminat di sini, penerbit memberikan kepercayaan untuk saya menggalas watak Melur.
“Saya datang ke sini bukan sekadar bawa imej pelakon Indonesia tetapi sebagai anak seni yang ingin terus berkembang sambil berinteraksi dengan skop penonton lebih luas lagi,” jelasnya.
Berkongsi pengalamannya bekerja di bawah arahan produksi tempatan, bekas atlet taekwondo itu mendedahkan terdapat perbezaan ketara dari sudut suasana kerja.
“Banyak persamaan berlakon di Indonesia dan Malaysia tapi di sana kami biasanya memiliki produksi yang sangat besar.
Tapi dalam masa sama agak kucar-kacir sebab dalam satu filem mungkin boleh mencecah 200 orang.
“Di Malaysia sangat intim, cuma 60 kru. Jadi rasa macam keluarga kerana setiap hari berjumpa,” luahnya.
Tambah Aghniny, tempoh penggambaran yang lebih panjang di Malaysia secara tidak langsung memberikan ruang untuk dirinya bernafas serta mendalami wataknya dengan lebih tenang.
Saya juga banyak belajar tentang sabar malah dalam masa sama seronok dapat melakukan sesuatu yang kita cintai tanpa terkejar-kejar.
“Di Indonesia penggambaran hanya 17 hingga 20 hari tapi di sini saya dapat 32 hari.
“Boleh jadi tiga bulan bersama produksi. Saya boleh cakap bahasa Melayu sikit-sikit, bolehlah jadi pelakon di Malaysia,” dedahnya. – HIBGLAM
