Arena Wan ‘bergelut’, serap ilmu diturunkan M. Nasir 

PERNAH dirundung rasa kecewa apabila kerap ditawarkan watak pelajar sekolah, itu yang dilalui pelakon Arena Wan sejak menceburi dunia lakonan beberapa tahun lalu.

Arena atau nama penuhnya, Arena Wan Mun-Yi Iman Wan, 26, berkata, perkara tersebut ibarat menutup impiannya bergelar aktres versatil.

Lebih pedih apabila ada pihak produksi hanya menilai bakatnya berdasarkan fizikalnya yang kecil.

“Sangat susah nak keluar daripada watak budak sekolah, ambil masa enam hingga tujuh tahun juga. Agak mengecewakan dan rasanya perkara ini turut dialami pelakon lain juga.

Saya selalu berusaha untuk tunjuk kemampuan sebagai pelakon versatil tetapi kadang-kadang apabila pergi uji bakat, sesetengah penerbit dan stesen televisyen masih melihat saya dengan imej watak budak sekolah.

“Mereka berasakan saya tidak boleh bawa watak yang lebih matang, serius dan mencabar sedangkan peluang wajar diberikan untuk saya buktikan kemampuan diri,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dedahnya, senario itu bagaimanapun mula berubah selepas dia membintangi drama Generasi Perfect 10 pada tahun lalu.

“Saya bergelut dengan perkara itu sehinggalah ditawarkan membintangi drama Generasi Perfect 10. Itu pun masih bawa peranan budak sekolah tetapi kali ini dapat menunjukkan kemampuan lakonan yang lebih besar.

Drama itu buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun, saya rasa orang mula pandang saya sebagai seorang pelakon dan kemampuan yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini,” katanya.

Ujar Arena lagi, drama tersebut turut menjadi pembuka rezeki apabila ditawarkan memegang watak Tun Seri Anem dalam teater muzikal Mansur & Liu arahan Datuk M. Nasir.

Generasi Perfect 10 membuka banyak peluang untuk saya dan sejujurnya, untuk Mansur & Liu pun disebabkan drama itu juga.

Saya dapat tahu Datuk M. Nasir dan isterinya, Datin Marlia Musa turut menonton Generasi Perfect 10.

“Berlakon di pentas teater sangat mencabar untuk saya, perlu menyanyi live dan lakonan juga berbeza daripada drama televisyen, namun saya sahut cabaran ini sebaiknya,” ujarnya.

BERGURU dengan M. Nasir dan Marlia Musa membuka ruang buat Arena untuk menyerap banyak ilmu baharu dalam lakonan, sekali gus membentuk keyakinan diri untuk beraksi di pentas besar.

Teater muzikal

Berkongsi mengenai teater tersebut, Arena mengakui sudah lama menantikan peluang sebegini memandangkan dia juga merupakan peminat pementasan muzikal sejak kecil.

“Saya selalu berangan untuk buat persembahan di pentas Istana Budaya dan syukur akhirnya peluang itu muncul.

Sesi uji bakat pula dengan M. Nasir, memang gemuruh, tambahan pula jarang menyanyi secara live.

“Namun, ketika pengurus maklumkan saya terpilih, sangat terkejut sebab ini kali pertama saya berlakon teater dan asas lakonan memang kosong kalau nak dibandingkan dengan pelakon lain,” jelasnya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh latihan, dia menyerap pelbagai ilmu baharu yang diturunkan M. Nasir dan Marlia Musa.

“Watak saya pula agak sukar dan mencabar kemampuan diri, ada tiga lagu perlu dinyanyikan secara ‘live’. Ini pentas teater, cara persembahan dan nyanyian sangat berbeza.

Berlakon teater dengan televisyen juga tak sama. Saya kini mendalami pelbagai ilmu baharu berkaitan lakonan.

“Di pentas teater, cara jalan, lontaran dialog pun ada teknik tersendiri malah perlu belajar bahasa istana yang mempunyai banyak intonasi.

Memang satu pengalaman baharu untuk saya. Terima kasih buat sifu M. Nasir dan isteri kerana percayakan bakat saya,” tuturnya.

Selain Arena, Mansur & Liu yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 10 hingga 20 September depan turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Aliff Aziz, Melinda Dadew, Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Fiza Thomas dan Hazama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok