‘Mahu tahu lebih banyak tentang kata-kata Tuhan’

PELAKON Zahirah MacWilson sebak apabila keputusannya untuk membaca al-Quran pemberian suami tercinta, Aiman Hakim Ridza sejak bulan Ramadan lalu membantu meringankan setiap kegusaran dalam diri.

Zahirah atau nama penuhnya Nur Zahirah Macwilson Zainol Macwilson, 31, berkata, menjadikan membaca al-Quran sebagai rutin setiap pagi menerbitkan rasa ingin tahu mengenai setiap makna dalam kitab suci itu.

“Subhanallah, rasa sedikit sebak pagi ini. Al-Quran yang indah ini telah dihadiahkan oleh suami tersayang pada hari perkahwinan kami enam tahun yang lalu.

“Awal tahun ini, ketika bulan Ramadan, saya berniat untuk membaca dan menghabiskan al-Quran.

Sejujurnya, saya fikir akan mengambil masa yang lama tetapi apabila terus membaca beberapa muka surat setiap hari selepas Subuh, saya mula sedar terbit rasa ingin mengetahui lebih banyak tentang kata-kata Tuhan,” katanya dalam satu hantaran media sosial hari ini.

Tambah Zahirah, dia berharap semua individu yang mahu memulakan rutin sama dapat melakukan dengan baik selain menyifatkan semua itu sebagai permulaan baharu buat dirinya.

Setiap persoalan dan pemikiran terjawab. Setiap kerisauan serta kesakitan terasa lebih ringan.

“Alhamdulillah, syukur. Ini baru permulaan, insya-Allah.

“Saya juga mendoakan sesiapa sahaja yang sedang melalui perjalanan yang sama atau berniat untuk memulakannya,” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia sempat memberi tip agar mana-mana individu yang mahu melakukan hal sama sepertinya mendalami al-Quran dengan menggunakan bahasa yang paling mudah difahami.

Saya menggalakkan kalian untuk membaca dan memahami keseluruhan al-Quran dalam apa sahaja bahasa yang paling mudah difahami sebelum meneruskan ke fasa lebih jauh.

“Semoga Allah SWT membimbing kita, niat sentiasa suci dan berharap Dia mempermudahkan segala urusan

“Terima kasih, sayang,” ujarnya.

Terdahulu, nama Zahirah menjadi bualan netizen apabila didakwa sudah memakai tudung selepas dia memuat naik foto berhijab dalam media sosialnya baru-baru ini.

Bagaimanapun, tiada lagi sebarang kenyataan atau pengesahan daripada pelakon tersebut sehingga hari ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok