Afdlin Shauki nikah pengurus Ogos lalu

TERLERAI sudah spekulasi tenang status dirinya apabila pelakon, Datuk Afdlin Shauki mendedahkan sudah berkahwin dengan wanita pilihannya pada Ogos lalu.

Afdlin atau nama penuhnya, Afdlin Shauki Aksan berkata, dia dan Marcella, 27, yang juga pengurusnya menjalin hubungan cinta yang singkat sebelum memutuskan untuk berkahwin.

“Apa yang boleh dikongsikan, alhamdulillah saya sudah berumah tangga.

“Kami dalam keadaan yang sangat bahagia. Allah permudahkan segala urusan, itu yang saya mahukan.

“Dari dulu hingga sekarang dia masih bekerja dengan saya. Kami pun bercinta sekejap kerana saya sudah berumur,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama sebuah stesen televisyen terkemuka.

Pelakon dan pengarah filem Papadom itu turut memaklumkan perkahwinan itu mendapat restu bekas isteri dan anak-anaknya.

“Anak-anak dan bekas isteri mengenali isteri baharu saya serta merestui hubungan kami.

“Saya harap kisah peribadi tidak jadi fokus utama sebaliknya lebih baik tumpukan kepada kerjaya sahaja,” ujarnya.

Menurut laporan Kosmo! Online pada Mei lalu, pelawak itu memberikan gambaran bahawa Ogos adalah momen penting dalam hidupnya.

Terdahulu, selepas hampir 25 tahun mendirikan rumah tangga dengan Maria Christina Orow Abdullah, Afdlin mengambil keputusan berpisah pada April 2022.

Hasil perkahwinan sejak 1997, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok