‘Mereka cakap muka saya macam Roslan Shah, nyonya Cina’

PENGACARA Maria Tengku Sabri mendedahkan dirinya digelar dengan pelbagai nama termasuk Roslan Shah susulan perubahan fizikal selepas menjalani pembedahan bariatrik tahun lalu.

Menurut Maria, 55, meski sedar dirinya sentiasa menjadi mangsa kecaman dan ejekan ramai, dia masih kekal dengan pendirian enggan melayan sebarang provokasi.

“Tidak kisahlah orang nak cakap apa pun sebab mereka tidak berada di tempat saya.  Mereka perlu tahu selepas buat bariatrik, saya tidak lagi makan ubat kencing manis, darah tinggi dan kolesterol yang diambil sejak 19 tahun lalu.

“Jadi, saya tidak kisah apa orang cakap. Ada yang cakap saya terlalu kurus, seperti mak cik berbangsa Cina dan memanggil saya Roslan Shah.

“Paling penting, suami dan anak-anak tahu saya melakukan bariatrik demi kesihatan, ingin hidup sihat, umur panjang serta mahu melihat anak-anak saya berumah tangga,” katanya pada sidang media Kilauan Emas Selebriti 2026.

Dalam pada itu, dia turut menafikan melakukan pembedahan bariatrik bagi tujuan kecantikan.

“Saya tidak pernah melakukan pembedahan bariatrik semata-mata ingin kelihatan cantik sebab tidak pernah mengambil pusing soal itu.

“Paling penting saya sihat supaya dapat menjaga suami dan anak-anak serta cucu saya,” ujarnya

Tambah Maria, dia tidak mempunyai sebarang ‘pantang’ untuk menikmati pelbagai juadah selepas menjalani bariatrik.

“Siapa kata selepas melakukan pembedahan bariatrik tak boleh makan seperti biasa? Kalian boleh makan semua jenis makanan cuma dalam porsi yang kecil. Tidak ada pantang sedikit pun.

“Tipnya, makan biar berpada-pada. Dalam sehari, saya selalunya makan enam kali, cuma setiap hidangan itu berkadar sederhana,” jelasnya.

Terdahulu, Maria mengakui menjalani pembedahan bariatrik kerana mahu menurunkan berat baran atas nasihat doktor. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok