‘Muka bengkak kesan pengambilan ubat’ – Sharmaine Alexander hidap psoriasis

MUKA membengkak, pelakon Sharmaine Alexander menjelaskan perubahan pada wajahnya yang menjadi bualan netizen berpunca daripada kesan ubat bagi penyakit psoriasis.

Sharmaine atau nama lengkapnya, Sharmaine Ilenna Rudy Alexander, 26, memilih mendedahkan perkara sebenar agar masyarakat tidak terus membuat andaian buruk terhadap situasi dilaluinya.

Saya tidak berhutang penjelasan kepada sesiapa, tetapi saya harap perkongsian ini dapat mengingatkan kita bahawa kita tidak pernah tahu apa yang sedang dilalui seseorang.

“Jadi, berhentilah membuat andaian dan sentiasalah memilih untuk berbuat baik,” katanya menerusi Instagram.

Bekas peserta Dewi Remaja itu berkata, dia kini perlu mengambil ubat steroid sebagai sebahagian daripada rawatan penyakit yang dihidapinya.

Akuinya, ubat tersebut mempunyai kesan sampingan yang mengakibatkan wajahnya kelihatan lebih bengkak pada waktu tertentu.

Saya perlu mengambil ubat (jenis) steroid. Pada hari-hari tertentu, wajah saya akan kelihatan lebih bengkak kerana itu merupakan salah satu kesan sampingan ubat tersebut,” jelasnya.

Turut mengingatkan orang ramai jangan mudah serkap jarang, katanya banyak faktor yang boleh menjejaskan kesihatan atau beri perubahan terhadap fizikal manusia.

“Keadaan psoriasis saya kini semakin baik dan saya bersyukur dengan perkembangan itu.

Ini sebabnya pendidikan sangat penting (bagi) mengajar kita agar tidak sewenang-wenangnya membuat andaian terhadap rupa paras atau penampilan seseorang.

‘Tidak semua perubahan pada wajah seseorang berpunca daripada prosedur kosmetik. Ada kalanya disebabkan masalah kesihatan atau kesan sampingan ubat yang sedang diambil,” tambahnya.

Menurut Sharmanie lagi, setiap insan seharusnya sentiasa berbuat baik selain tidak menyakiti hati orang lain dengan perbuatan mahupun secara lisan.

Berbuat baik itu tidak memerlukan apa-apa kos, tetapi satu andaian yang salah mampu melukakan hati seseorang,” katanya.

Terdahulu, ada dalam kalangan netizen menyangka pelakon drama Kasih Yang Terkorban itu melakukan suntikan filler iaitu prosedur estetik menggunakan bahan pengisi bagi menambah isi padu, membentuk kontur atau mengurangkan kedutan pada wajah.

Psoriasis pula adalah penyakit autoimun kronik yang menyebabkan sel kulit membiak terlalu cepat lalu mengakibatkan tompok kulit merah, bersisik, kering dan gatal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok