PELAKON dan usahawan Syatilla Melvin mengakui kekerapannya berkongsi hal berkaitan agama baru-baru ini adalah salah satu caranya untuk mengutip saham akhirat dengan menyebar perkara positif kepada pengikut media sosial.
Menurut Syatilla, 35, dia lebih banyak mengulangsiar petikan agamawan kerana tidak pandai untuk menyusun kata-kata yang sesuai kepada umum.
“Saya jenis ada masalah nak menyusun ayat dengan baik. Pengikut media sosial saya pun tahu, saya jenis tulis ayat bersepah.
“Saya nak ingatkan orang tentang solat, kebaikan tetapi tak pandai nak susun ayat.
“Jadi, apa yang boleh saya lakukan ialah petik kata-kata daripada ustaz-ustaz yang saya baca, salin dan muat aik dalam platform Threads,” katanya kepada HibGlam.
Ditemui pada majlis pelancaran Mr DIY Club, katanya kebanyakan perkongsian yang dimuat naik merupakan antara kata-kata yang berjaya memberi kesedaran kepada dirinya.
“Mana-mana ayat atau petikan yang rasa macam betul-betul menusuk ke kalbu, saya akan kongsi.
“Saya rasa mungkin Allah SWT dah dorong saya melalui platform media sosial seperti Threads untuk digunakan sebaik mungkin ke arah kebaikan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia berharap perkongsian mengenai hal-hal berkaitan agama dalam media sosialnya tidak mencetuskan sebarang perdebatan mengenai masa silam seseorang termasuk dirinya.
“Perkongsian saya bukan untuk cetuskan pemikiran ‘dia dulu pun teruk’, bukan begitu niat saya.
“Saya harap platform yang Allah beri sedikit ini dapat bantu saham akhirat kita, insya-Allah,” ujarnya.
Terdahulu, Syatilla mengundang perhatian apabila kerap mengulang siap petikan dan kata-kata agamawan dan mufti mengenai hal-hal berkaitan agama.
Antara yang dikongsi adalah kepentingan menunaikan solat lima waktu dan sentiasa melakukan kebaikan serta kewajipan dalam agama. – HIBGLAM
