Berpada-pada makan, jangan ikut nafsu – Anzalna

TERUJA menikmati ‘makanan viral’, pelakon Anzalna Nasir mengingatkan orang ramai agar usah terlalu ghairah mengejar trend sehingga mengabaikan aspek kesihatan.

Anzalna atau nama sebenarnya, Nur Anzalna Md Nasir, 38, berkata, keinginan mencuba makanan baharu bukan satu kesalahan bahkan itu tanda sokongan masyarakat kepada peniaga namun jangan berlebihan.

“Saya perasan sekarang banyak makanan pelik-pelik dan manis yang viral. Bila tengok ulasan menarik, terus rasa nak cuba.

“Kadang-kadang kita nak support peniaga sebab tahu mereka cari rezeki, tapi jangan lupa fikir juga tentang kesihatan diri,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Ibu kepada dua cahaya mata itu turut menasihati orang ramai supaya bijak mengawal kuantiti pengambilan makanan dengan tidak mengikut nafsu.

“Kalau teringin boleh cuba, tapi jangan terlalu ikut nafsu. Makan berpada-pada, kesihatan lebih penting.

“Peringatan untuk diri sendiri juga yang suka makan manis-manis walaupun tahu diri sudah manis,” selorohnya.

Menerusi komen, ramai sependapat dengannya, malah ada dalam kalangan pengikut mengusik Anzalna dengan berkongsi foto manisan yang menyelerakan.

“Nakal lah kalian, saya cuba nak jauhi makanan manis, lagi kalian kongsi macam-macam makanan manis kat sini,” ujarnya.

Terdahulu, Anzalna merupakan antara selebriti yang aktif berkongsi pandangan dalam pelbagai isu terutama berkenaan keibubapaan serta isu semasa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok