JIKA ditanya kemelut keluarga mana yang masih belum berakhir indah, jawapan penulis hanya satu iaitu Abby Abadi dan Norman Hakim.
Menelusuri semua kemelut mereka seperti menaiki roller coaster, emosi turun naik, menjunam tetapi adakalanya kembali normal.
Tidak berlebihan sekiranya semua kemelut yang melanda ini berlarutan sejak Marissa Dania dan bekas suaminya, Ahmad Aslam memilih untuk bernikah secara senyap-senyap di Songkhla, Thailand pada Disember 2023.
Sejak detik itu, bermacam-macam isu muncul termasuk pertikaian cara Abby dan Norman membesarkan anak-anak, rajuk Abby dan kemelut rumah tangga Marissa. Huru-hara pada pandangan masyarakat.
Selepas Marissa dan Aslam disahkan bercerai pada bulan lalu, ramai menyangka kemelut keluarga mereka sudah berakhir tetapi jangkaan itu meleset sama sekali.
Hubungan ibu dan anak yang sepatutnya terjalin indah tidak berakhir seperti diharapkan apabila Abby dikatakan kembali mengungkit segala sejarah lamanya dengan Norman dan Memey.
Lebih memanaskan keadaan apabila kelibatnya tidak kelihatan pada sambutan hari jadi Marissa yang diraikan bersama Norman dan Memey.
Namun menurut Marissa, jemputan sudah dihantar tetapi tidak mendapat maklum balas daripada Abby mahupun bapa tirinya, Faizal Zakaria.
Bagi segelintir individu, perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku tetapi untuk empunya badan, dia hanya mahu menyuarakan mengenai hak yang sepatutnya dimiliki sejak dulu iaitu nafkah perbelanjaan makan dan minum serta tempat tinggal tiga anak mereka.
Gejolak jiwa dilalui Abby untuk membuatkan dia secara terbuka berkongsi kepada umum sejarah hitamnya sepanjang bergelar isteri Norman termasuk momen setiap kelahiran tiga anaknya iaitu Danish Hakim, Marissa dan Danisha Hakim.
Paling parah, rakaman video perbalahan Abby dan Norman ketika hari perceraian mereka sekitar tahun 2008 dan foto perkahwinan Memey dengan Norman kembali menular sekali gus mengundang lebih banyak kecaman.
Katanya dalam satu hantaran media sosial, setiap kali dia membangkitkan isu keadilan dalam pembayaran nafkah, hubungan yang sebelum ini terjalin harmoni dengan Norman dan Memey mula merenggang.
Bila saya bangkitkan soal keadilan untuk anak-anak dan nafkah yang tak pernah dapat di tangan, bermulalah pelbagai konflik.
“Kalau tak selesai di dunia, akhirat pasti bertemu,” katanya.
Diasak netizen sama ada dia akan memfailkan tuntutan nafkah tersebut di muka pengadilan, Abby menolak perkara tersebut dan menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan.
“Saya malas turun naik mahkamah, bertahun-tahun.
Tak mengapalah, saya tak halalkan, mahkamah Allah ada,” ujarnya.

NORMAN dan isteri, Memey memilih pendekatan berdiam dan tidak memberi sebarang respons secara baik mahupun sinis terhadap apa sahaja kekeruhan dan luahan Abby Abadi yang memanaskan suhu media soslal sepanjang minggu ini.
Norman, Memey membisu
Meski bertalu-talu hantaran sinis yang dimuat naik bekas isteri, Norman dan Memey bagaimanapun memilih pendekatan mengunci mulut daripada memberi sebarang komen yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
Bukan menyepi dari media sosial sebaliknya hanya memberi fokus kepada kehidupan dan bisnes yang dijalankan.
Norman juga dilihat kerap berkongsi konten media sosial memaparkan dia menguruskan keperluan anak-anaknya terutama Danisha yang kini menyambung pengajian di peringkat universiti.
Marissa jua dihujani kecaman apabila muncul dalam siaran langsung TikTok akaun bisnes milik Memey sehingga didakwa mengabaikan ibu kandung sendiri.
Masih tiada titik kedamaian ditemui dalam kemelut yang berlaku. – HIBGLAM
