‘Sakit! Dia kata takkan panggil saya penyanyi’

BUKAN semua tepukan yang bergema hari ini lahir daripada jalan yang mudah, begitu juga dengan senyuman pada wajah penyanyi Andi Bernadee, ada garis yang menyimpan butiran terucap.

Hakikatnya, di dada Andi tersimpan kisah panjang seorang anak seni yang pernah berjalan dalam gelap, ditemani penolakan, cemuhan dan kata-kata yang hampir mematahkan impiannya.

Sebelum namanya mekar sebagai antara penyanyi lelaki popular tanah air, pemilik nama lengkap Andi Azrul Andi Mapangile itu pernah menjadi insan yang dipandang sebelah mata segelintir orang industri.

Hati remuk

Tidak hanya sekali, malah acapkali dia pulang dengan hati remuk selepas gagal dalam pelbagai uji bakat ketika berusia belasan tahun. Lebih memilukan, ketika masih bertatih, ada individu berpengaruh yang secara terbuka memperlekehkan kebolehannya dengan mempertikaikan kewujudan dirinya sebagai penyanyi.

Kata-kata itu bukan sekadar kritikan, tetapi ibarat menyimbah luka dengan air garam yang kekal berparut dalam hatinya sehingga ke hari ini.

“Dia cakap depan-depan, ‘aku takkan panggil kau penyanyi walaupun kau ada banyak lagu sebab tak ada satu pun lagu kau yang hit.

“Ada juga yang persoalkan kenapa syarikat rakaman sanggup ambil saya. Memang sakit. Bila kita sedang berjuang, kata-kata macam itu memang menusuk jiwa,” katanya kepada HibGlam.

Andi Bernadee percaya, untuk bertahan dan keberadaannya dalam industri terus relevan, dia harus mempelbagaikan cabang karier, tidak hanya menyanyi dia juga berlakon dan menjadi pengacara.

Itu kisah sedekad lalu ketika dia memilih untuk menelan segala kepahitan dalam diam tanpa sekelumit dendam apatah lagi membalas kutukan.

Setiap sindiran dijadikan bara yang membakar semangat untuk membuktikan kemampuannya dan kini takdir akhirnya menyebelahi anak jati Sabah itu apabila lagu Satu Peluang disusuli Donde meledak, sekali gus mengubah persepsi segelintir pihak.

Ironinya, individu sama yang pernah memperlekehkan bakatnya kembali menghulurkan pujian tanpa perasaan silu.

Apabila Satu Peluang dan Donde meletup, orang yang sama datang balik dan cakap, ‘aku dah agak dah kau mesti boleh pergi jauh.’

“Saya cuma senyum. Saya tiada dendam.

“Bagi saya, apa yang berlaku sebelum ini menjadi pembakar semangat untuk saya bekerja lebih keras agar kekal relevan, bukan jadi penyanyi ‘one hit wonder’,” ujarnya.

Bukan ‘one hit wonder’

Perjalanan menuju puncak juga bukan dibina dalam tempoh singkat kerana sebelum melangkah ke arus perdana, Andi sudah lama mengetuk pintu industri menerusi pelbagai pertandingan nyanyian seperti Akademi Fantasia, Mentor dan One In A Million, namun semuanya berakhir dengan kekecewaan.

Hanya pada usia 28 tahun, peluang mula muncul apabila dia diterima menyertai Big Stage musim pertama, seterusnya membuka jalan untuknya melangkah lebih jauh dalam arena muzik.

Memang sukar nak tembusi industri. Saya pergi macam-macam uji bakat bermula selepas sekolah menengah lagi tetapi semuanya menemui kegagalan.

“Sebab itu saya tak pernah anggap kejayaan hari ini datang dengan cara mudah atau sekadar berpaksikan tuah.

“Saya tahu macam mana rasanya ditolak berkali-kali,” ungkap penyanyi yang pernah juga terpuruk dalam satu fasa gelap, berdepan gangguan mistik yang sukar dijelaskan kepada khalayak secara terbuka.

Kini tampil dengan album sulung berjudul Ding Geding selepas sembilan tahun bergelar penyanyi, daya tahannya dalam industri bukan sekadar bergantung kepada sebuah lagu popular.

ANDI memisahkan soal karier dan privasi keluarga. Baginya, biarlah keluarganya hidup tenang tanpa terlalu didedahkan kepada khalayak. Jika terjadi sebarang isu, keluarga tidak terkena tempias yang teruk.

Menyedari ramai bakat baharu tenggelam selepas mencipta satu fenomena, dia memilih untuk mengembangkan sayap dalam bidang lakonan dan pengacaraan agar terus relevan.

Saya sedar ramai artis realiti hilang selepas beberapa tahun. Jadi saya pelbagaikan bakat supaya orang kenal saya bukan hanya sebagai penyanyi, bahkan turut berlakon dan mengacara.

“Kalau pendengar muzik tak kenal, mungkin penonton drama kenal. Itu strategi saya untuk terus kekal berada dalam industri,” kongsinya.

Dalam dunia yang semakin rakus dengan perhatian media sosial, Andi pula memilih jalan berbeza malah selama sedekad bergelar anak seni, dia hampir tidak pernah mendedahkan kisah keluarga atau percintaan kepada umum.

Baginya, ada sempadan yang tidak harus dilintasi demi melindungi insan tersayang daripada menjadi mangsa kecaman dunia maya.

“Kerja adalah kerja. Bila balik rumah, saya cuma orang biasa. Saya tak suka terlebih berkongsi hal peribadi sebab sekarang silap sikit, habis keluarga kita akan diheret sama.

Mak ayah saya sudah berusia dan hidup tenang di Sabah. Adik-beradik saya pun tak pernah menumpang nama saya.

“Biarlah mereka terus menjalani kehidupan seperti biasa.

Buat masa sekarang, saya pun baru pulih daripada masalah kesihatan.

“Jadi fokus saya cuma mahu berehat, menghargai kehidupan dan terus menghasilkan karya yang lebih baik,” katanya.

Kematangan

Terlanjur berbicara mengenai Ding Geding, tambahnya naskhah yang memuatkan 12 lagu dengan variasi genre dan emosi menampilkan sisi dirinya yang lebih matang daripada sudut penceritaan, pemilihan bunyi serta keberanian melakukan eksperimen dengan identiti muzik baharu.

Bukan hanya tampil dengan lagu bersifat komersial, Ding Geding juga menjadi medium buatnya meluahkan pelbagai rasa yang dipendam sepanjang meniti perjalanan sebagai anak seni.

Album ini umpama buku tetapi bukan tentang saya, sebaliknya kisah yang saya baca dan kutip dari dalam Threads.

“Platform itu kini jadi gelanggang khalayak berkongsi pelbagai topik baik, peribadi mahupun isu semasa,” tutupnya. – HIBGLAM

CAPTION

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok