LUKA masih berdarah, pelakon Abby Abadi mendedahkan duka yang disimpan selama dua dekad selepas meraih perhatian ramai susulan tidak menghadiri majlis sambutan ulang tahun anak keduanya, Marissa Dania Hakim.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, berkata, ketiadaannya bukan kerana menyimpan amarah, sebaliknya merasakan dirinya ‘kalah’ dalam dunia media sosial dan kandungan digital.
“Jangan salah faham. Saya ucap selamat hari lahir kepada Marissa bukan sebab marahkan dia. Saya cuma nak dia tahu hari istimewa anak-anak sentiasa dalam ingatan saya.
“Tak pernah sekalipun saya gagal meraikannya kecuali tahun ini. Tak mengapalah, saya kalah sebab saya tak mampu buat majlis besar-besar. Saya orang biasa.
“Apa yang ada hari ini pun hasil kerja keras untuk beri kehidupan baik kepada anak-anak,” katanya dalam perkongsian di platform Threads.
Ibu kepada enam cahaya mata yang memuat naik luahan disifatkan sebagai luka tersimpan itu juga mendakwa seolah-olah pengorbanannya dilupakan.
“Bila dah makin seronok, buat majlis pun macam saya dah mati. Rasa macam dah beri seluruh jiwa raga, tetapi bila diuji dengan harta benda, mereka lupa pernah meninggalkan luka parah dalam hati saya,” ujarnya.
Abby turut mengimbau pengalaman membesarkan tiga cahaya mata hasil perkahwinannya dengan bekas suami, Norman Hakim, termasuk mendakwa melalui tempoh kehamilan dalam keadaan bersendirian.
Katanya Abby, dia melalui sebahagian besar tempoh kehamilan bersendirian kerana aktor terbabit sering tiada di rumah atas komitmen kerja, bahkan pernah melahirkan anak di dalam kereta tanpa sempat tiba di klinik.
“Cuma saya nak anak-anak saya tahu dari awal mengandung sampailah melahirkan kamu semua mama mu ini berjuang sendiri. Anak nombor satu keadaan masih baharu dah terasa deritanya, tapi sebab sayang teruskan juga.
“Anak nombor dua mengandung pun layan diri. Menangis sendiri, melayan jiwa sendiri sebab suami tak balik, tahu-tahu nak bersalin, dia muncul. Sikit pun saya tak marah, saya buat rileks. Saya bersalin dalam kereta dan sambut sendiri anak,” katanya.
Pada masa sama, Abby membangkitkan isu keadilan terhadap permata hati selain nafkah yang didakwanya menjadi punca hubungan mereka semakin renggang.
“Bila saya bangkitkan soal keadilan untuk anak-anak dan nafkah yang saya tak pernah dapat di tangan, bermulalah pelbagai konflik. Kalau tak selesai di dunia, akhirat pasti bertemu,” ujarnya.
Mengakhiri luahan, Abby mengakui kini lebih memahami makna trauma, namun bersyukur kerana ujian yang dilalui mendekatkannya kepada Allah selain memberinya kekuatan.
Sebelum ini, Abby tidak kelihatan dalam majlis sambutan hari jadi Marissa anjuran Norman bersama isterinya, Memey Suhaiza, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Marissa merupakan anak kedua hasil perkahwinan Abby dengan Norman yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2002 sebelum mereka bercerai pada 2009.
Dua lagi anak daripada hasil perkahwinan itu ialah Mohamed Danish Hakim, 23, dan Maria Danisha Hakim, 18. – HIBGLAM.
