“SAYA tak bujang dan bukan juga seorang duda”.
Demikian penegasan pelakon Nafiz Muaz tentang status perkahwinannya yang kini sedang rancak diperkatakan netizen dalam media sosial.
Menurut Nafiz atau nama lengkapnya Muhd Nafiz Muaz Mat Nasir, 28, disebabkan dia seorang yang sangat menjaga kisah peribadi dan tidak berkongsi tentang keluarga dalam media sosial, banyak pihak gemar membuat spekulasi liar tentang status rumah tangganya.
Sebenarnya dari awal saya berkahwin, memang saya tak kongsikan apa-apa dalm media sosial sehinggalah saya memiliki seorang anak yang kini berusia lima tahun.
“Saya cuba jaga privasi sebab ini kehidupan peribadi saya. Saya rasa macam orang tak patut tahu perkara melibatkan keluarga saya.
Memang tak dapat dinafikan ada yang ingat saya masih bujang, yang ingat saya duda pun ada. Sebenarnya saya tak bujang dan saya belum duda lagi.
“Kalau boleh jangan mendoakan ke arah itu. Kalau saya duda semua orang akan tahu,” katanya ketika ditemui di sesi sidang media bersama pelakon Doa Yang Terlindung 2, semalam.
Menurut pelakon drama Yes Captain Aaryan itu lagi, pendirian itu dibuat bagi memastikan urusan peribadi kekal menjadi privasi selain mengelakkan perkara tersebut memberi kesan terhadap kerjayanya.
Saya cakap dengan isteri saya, kerja saya tak ada kaitan dengan kehidupan kami. Kerja saya adalah kerja saya. Saya tak nak orang kenal anak saya dan saya tak nak orang tahu pun macam mana rumah tangga saya. Okey ke tak okey, itu saya sahaja yang tahu.
“Masa saya bahagia pun saya tak pernah kongsi dan kalau saya ada masalah pun saya tak akan kongsi. Sebab saya tak nak perkara itu beri kesan kepada kerjaya saya sebagai seorang pelakon,” jelasnya.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai spekulasi yang mengatakan rumah tangganya sedang berdepan masalah, Nafiz memilih untuk tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut.
“Kalaulah jodoh saya tak panjang, semua orang akan tahu. Jadi mana-mana yang buat spekulasi yang mengatakan saya itu ini, saya tak nak cakap lebih. Anda tunggu dan lihat sahajalah.
Saya rasa disebabkan saya tak ‘update’ apa-apa langsung, jadi mungkin disebabkan itu macam-macam andaian orang buat.
“Tapi tak semestinya kalau kita sambut raya sekali kita nak kena kongsi gambar bersama. Baju raya warna apa semua, saya tak kongsi pun. Tentang diri saya sendiri pun saya tak kongsi, apatah lagi keluarga,” ujarnya.
Untuk Nafiz mendirikan rumah tangga bersama adinda kepada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah iaitu Diyana Omar pada 2 Januari 2021 di sebuah hotel terkemuka di ibu negara. – HIBGLAM
