BARU sahaja menimang anak lelaki, pelakon Fattah Amin mengakui sangat kagum dengan besarnya pengorbanan seorang wanita bergelar ibu selepas menyaksikan sendiri proses kelahiran cahaya matanya, Muhammad Jarir Umar.
Ujar Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 36, tiada istilah bersalin secara normal lebih mudah atau pembedahan caesarean (czer) lebih sukar kerana kedua-duanya menuntut keberanian serta mempertaruhkan nyawa seorang ibu.
“Bagi saya, tiada bezanya bersalin secara normal mahupun pembedahan. Kedua-duanya tetap satu pengorbanan besar seorang ibu untuk melahirkan anak.
“Saya menyaksikan sendiri proses kelahiran itu. Sebab itulah syurga seorang anak terletak di bawah tapak kaki ibu kerana seorang wanita benar-benar mempertaruhkan nyawa demi zuriat.
“Ada ibu melalui proses kelahiran dengan lancar dan mudah, ada pula terpaksa berdepan pelbagai cabaran. Setiap pengalaman berbeza dan semuanya wajar dihargai,” katanya dalam siaran langsung TikTok
Bintang filem Mat Kilau itu turut berkongsi detik isterinya, penyanyi dan pelakon Amira Othman mula menunjukkan tanda-tanda bakal melahirkan anak mereka.
“Perjalanan kelahiran Jarir bermula selepas waktu Subuh apabila kami mendapat petanda dia akan dilahirkan.
“Apabila tiba waktunya, kami terus bergegas ke hospital. Alhamdulillah keadaan Amira ketika itu berada dalam keadaan baik dan semuanya dipermudahkan,” ujarnya.
Perkongsian bapa dua anak itu mengundang pelbagai reaksi positif daripada netizen yang tersentuh melihat penghargaan diberikan terhadap pengorbanan seorang ibu.
“Semoga semua suami memahami betapa besarnya pengorbanan isteri ketika melahirkan zuriat.
“Alhamdulillah, seronok dengar suami menghargai perjuangan seorang ibu. Semoga keluarga ini terus bahagia.
“Semoga Amira cepat sembuh dan Jarir membesar menjadi anak soleh penyejuk hati kedua-dua ibu bapanya,” tulis beberapa netizen.
Untuk rekod, Amira selamat melahirkan bayi lelaki mereka, Muhammad Jarir Umar pada 23 Jun lalu.
Fattah dan Amira pula diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 14 September tahun lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung di Sepang. –HIBGLAM.
