SELEBRITI serba boleh, Shiha Zikir meniup kata-kata semangat buat barisan finaslis Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) agar tidak berputus asa walaupun tidak pulang dengan sebarang kemenangan semalam.
Menurut Shiha, peluang mengadakan persembahan di pentas AJL40 adalah perkara yang sepatutnya dijadikan memori dan pengalaman terhebat dalam kamus kerjaya seni masing-masing.
“Tahniah buat semua pemenang dan juga semua finalis. Alhamdulillah rezeki.
Buat yang belum membawa pulang kemenangan, jangan pernah rasa kalian pulang dengan tangan kosong.
“Kerana setiap seorang daripada kalian telah membawa pulang sesuatu yang jauh lebih bermakna, sebuah kenangan dan memori indah yang dicipta buat kami para peminat seni tanah air,” katanya dalam satu hantaran Threads
Tambahnya, setiap finalis layak untuk diraikan meskipun tidak meraih sebarang kemenangan dalam pertandingan berprestij tersebut.
Dia juga berharap semua penyanyi dan pengkarya yang bertanding tidak berputus asa dalam menghasilkan lagu pada masa akan datang.
“Menang atau tidak, kalian semua tetap hebat dan tetap layak diraikan.
“Terima kasih atas segala usaha, semangat dan persembahan yang cukup menghiburkan semalam.
Teruslah berkarya, teruslah melangkah. Kerana dunia seni ini lebih indah kerana adanya kalian. Sekali lagi, tahniah semua,” katanya lagi.
Sebelum ini, Shiha pernah bertanding di pentas AJL sebanyak tiga kali menerusi lagu 7 Nasihat (AJL35), Irama (AJL37) dan Kalam (AJL38).
Dia juga pernah mencipta rekod dan perhatian ramai pada AJL 37apabila mengeluarkan kos sebanyak RM100,000 untuk persembahan lagu Irama termasuk penggunaan lapan lampu laser bernilai puluhan ribu ringgit. Pelaburan itu membolehkan beliau merangkul trofi Persembahan Terbaik. – HIBGLAM
