8
PELAKON dan usahawan Abby Abadi menzahirkan rasa syukur selepas Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini mengesahkan talak yang dilafazkan Ahmad Aslam terhadap Marissa Dania.
Tanpa mengulas panjang mengenai prosiding yang berlangsung hari ini, Abby atau nama penuhnya Arbaiyah Abdul Manan, 49, hanya mengucapkan perkataan syukur penuh ringkas dalam satu hantaran InstaStory.
“Alhamdulillah,” katanya ringkas.
Dia turut mengulang siar sebuah video portal hiburan yang memaparkan kehadiran Aslam dan Marissa di mahkamah hari ini.
Sebelum ini, Abby antara individu yang lantang bersuara mengenai kemelut rumah tangga anaknya termasuk menyokong sekiranya perpisahan berlaku.
Dia juga beberapa kali meminta Aslam, 27, bertanggungjawab atas semua kemelut yang berlaku selain terus mendoakan agar Marissa, 21, diberikan kekuatan berdepan masalah rumah tangga dan kehidupan poligami.
Hari ini, kemelut rumah tangga Aslam dan Marissa akhirnya menemui noktah apabila disahkan tidak lagi bergelar suami isteri oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Keputusan tersebut dibuat Hakim Syarie, Nadiah Khamis selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dalam prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk.
Mewakili Aslam, peguam syarie Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri menjelaskan mahkamah mengesahkan lafaz talak sebelum ini adalah sah sekali gus membubarkan perkahwinan pasangan tersebut.
Untuk rekod, Aslam sebelum ini dilaporkan melafazkan cerai dan rujuk sebanyak dua kali, masing-masing pada September 2024 dan April tahun lalu sebelum kembali rujuk beberapa bulan kemudian, sekali gus menjadikan perpisahan kali ini sebagai noktah muktamad buat hubungan mereka.
Perkahwinan mereka sebelum ini turut mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 ketika Aslam masih bergelar suami kepada pempengaruh Umisya Mazlan.– HIBGLAM
