Peterpan: ‘Sangat istimewa, setiap lagu mereka ada memori’

MENGUBAT kerinduan, kumpulan popular Indonesia, Peterpan yang bakal kembali menghiburkan peminat Malaysia menerusi konsert The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita akan dimeriahkan ramai penyanyi undangan.

Dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena pada 11 Julai depan, persembahan mega itu dianggap antara aksi dinantikan tahun ini yang dijangka menghimpunkan ribuan peminat tempatan dan Indonesia.

Seperti judulnya, acara mega anjuran Pulse Project Asia dengan kerjasama Blacksky Enterprise dan Orlaith Inc tersebut bukan sekadar membawa lagu malar segar naik pentas semula, bahkan meneruskan perjalanan emosi Peterpan bersama peminat.

Wakil penganjur konsert berkata, penyertaan barisan penghibur dari dua negara membuatkan kemunculan band terkemuka itu lebih istimewa, sekali gus menyajikan variasi kepada penonton.

“Muzik Peterpan yang menjadi halwa telinga ramai lebih dua dekad lalu menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup ramai peminat yang melalui pelbagai fasa kehidupan bersama karya mereka.

Konsert ini tidak hanya membawa lagu lama kembali ke pentas, tetapi meneruskan sebuah perjalanan emosi yang membesar bersama generasi peminat.

“Lebih unik apabila sekian lama tidak berkunjung ke Malaysia, kedatangan kali ini bakal menyajikan persembahan istimewa yang disertai ramai penghibur,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara barisan penyanyi popular yang telah mengesahkan penglibatan dalam konsert berkenaan termasuklah, Marcello Tahitoe, Tantri Syalindri, Rony Parulian, Arda Hatna serta artis tempatan Hael Husaini yang menghidupkan semula karya ikonik Peterpan.

Anggota pengasas Peterpan iaitu Ilsyah Ryan Reza, Loekman Hakim, Andika Naliputra dan Indra turut diumumkan bakal membuat kemunculan khas pada malam berkenaan.

Momen emosi

Sudah pasti momen paling emosional nanti apabila dendangan pilihan seperti Semua Tentang Kita, Mimpi Yang Sempurna, Yang Terdalam dan Ada Apa Denganmu diperdengarkan.

Tambah penganjur, sambutan terhadap konsert tersebut meningkat mendadak sejak pengumuman rasmi dibuat pada 28 April lalu apabila media sosial dibanjiri reaksi teruja daripada komuniti peminat di kedua-dua negara.

“Mungkin inilah yang menjadikan Peterpan begitu istimewa kerana setiap lagu mempunyai memori tersendiri.

“Ramai peminat mahu merasai semula perasaan yang pernah hadir ketika seleksi hits tersebut  menjadi sebahagian daripada hidup mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pihak penganjur memaklumkan kategori tiket CAT 3 serta semua pakej Royal Box habis dijual.

Manakala, baki tiket premium kini semakin pantas mendapat sambutan sejak jualan rasmi dibuka pada 8 Mei lalu menerusi Ticket2u dan Fantopia.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok