Shuib tak izinkan Watie, Dekta berlakon

SEDIA maklum betapa penatnya rutin kerja anak seni, pelawak yang juga penyampai radio Suria FM, Shuib tidak membenarkan isterinya, Watie Hanifiah terlibat dengan dunia hiburan terutama bidang lakonan.

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri Watie, 35, yang percaya keputusan suaminya itu demi kebaikan dirinya dan juga keluarga.

“Ada terima tawaran berlakon tapi terpaksa tolak. Baru sahaja tolak satu daripada Zeel Productions, minggu lepas kalau tak silap.

“Shuib sendiri yang ‘reject’. Tawaran berlakon itu melibatkan saya dan Dekta. Shuib cakap kalau buat reviu (produk) dan iklan boleh tapi berlakon atau benda-benda yang berkait dengan televisyen, tak boleh,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Karnival Mega Suria 2023, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dedah pemilik nama sebenar Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah itu lagi, Shuib juga belum beri lampu hijau buat anak keduanya, Dzahira Talita Zahra atau Dekta berkecimpung dalam dunia seni walaupun anaknya itu menunjukkan kecenderungan terhadap dunia lakonan.

“Dekta teringin sebab produksi nak sangat dia berlakon. Siap bagi skrip tapi bila tanya daddy (Shuib), dia tak benarkan.

“Produksi masih tunggu jawapan, mana tahu Shuib berubah fikiran. Shuib buat semua ini bersebab. Dia tahu betapa penat menjadi anak seni terutama jika terlibat dalam bidang lakonan,” ujar Watie.

Dekta merupakan anak kedua Shuib hasil perkahwinan dengan llahyarham Siti Sarah.

Selain Dekta, perkahwinan mereka diserikan dengan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2 tahun.

Jun lalu, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 38, menamatkan zaman duda apabila menyunting Watie sebagai suri hidup dengan sekali lafaz. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok