Kepingan emas cenderahati majlis nikah El Rumi, Syifa Hadju

GENAP empat bulan bertunang, anak kepada penyanyi Indonesia Ahmad Dhani, El Rumi diijabkabul dengan wanita pilihannya, Syifa Hadju dalam majlis pernikahan, hari ini.

Berlangsung di Hotel Raffles Jakarta, El Rumi atau nama sebenarnya Ahmad El Jallaludin Rumi, 26, selamat bergelar suami hanya dengan sekali lafaz di hadapan petugas Pejabat Hal Ehwal Agama (KUA) Kecamatan Setiabudi, Jakarta Selatan.

Majlis akad nikah hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua pihak, termasuk ibu El Rumi, penyanyi Maia Estianty serta suaminya juga ahli perniagaan Irwan Mussry.

Sebelum pernikahan, El Rumi dan Syifa yang mula menjalinkan cinta hampir dua tahun menjalani beberapa adat termasuk majlis bersiram dan pengajian pada 24 April lalu.

Anak kedua daripada tiga bersaudara itu mengikat tali pertunangan dengan aktres dan penyanyi itu pada 21 Januari 2026.

Setahun sebelumnya El Rumi melamar wanita berusia 25 tahun itu di Lauterbrunnen, Switzerland dalam suasana romantis.

Istimewanya, tetamu membawa pulang cenderahati berupa emas seberat 0.2 gram yang dikatakan sebagai simbol memulakan keluarga dengan pelaburan jangka panjang.

Difahamkan, mas kahwin diberikan pengantin lelaki kepada mempelai perempuan adalah mata wang pound mengikut tahun ini 2,026 atau RM10,870 serta perhiasan emas.

Resepsi pasangan itu berlangsung pada sebelah malam di lokasi sama, manakala satu lagi majlis difahamkan akan diadakan di Bali. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok