‘Moga kali ini awak dapat jejak kaki di bumi Gaza’

PELAKON, Ardell Aryana berlepas ke Barcelona, Sepanyol bagi menyambung misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi gerakan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF2.0).

Pemergian Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, dikongsikan suaminya, Nadzmi Adhwa yang menitipkan doa agar isteri serta anggota rombongan lain dapat memasuki bumi Palestin itu.

“Saya, anak-anak dan keluarga kita semua tunggu awak balik ya.

“Semoga kali ini awak dapat jejakkan kaki di bumi Gaza,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Selain Nadzmi, seisi keluarga termasuk anak-anak mereka turut mengiringi Ardell di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Menerusi perkongsian video, kelihatan pelakon drama Asam Pedas Untuk Dia itu mengucup dahi ibunya, Sawiyah Abdullah, yang duduk di kerusi roda selain mencium anak-anaknya.

Pada masa sama, Nadzmi juga mendoakan usaha serta misi teman hidupnya itu dipermudahkan serta mendapat keredaan Allah.

“Semoga Allah reda dengan usaha awak membantu ummah dan semoga Allah permudahkan awak dan semua yang terlibat,” ujarnya

Selain Ardell, antara personaliti dan pendakwah yang menyertai GSF2.0 ialah adik-beradik Heliza dan Hazwani Helmi, PU Rahmat, PU Amin, Imam Asyraf dan Haroqs.

Difahamkan, lebih 500 sukarelawan dari 100 negara akan berlayar dari Barcelona pada 12 April ini yang juga misi kemanusiaan antarabangsa bagi memecahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza.

Seramai 23 sukarelawan warga Malaysia ditahan rejim Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sebelum selamat pulang ke tanah air pada 7 Oktober tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok