LEBIH lima dekad berdiri sebagai antara figura paling disegani dalam industri seni tanah air, bintang ikonik bergelar Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah mengabadikan perjalanan muziknya menerusi program khas, DJA Show: Siri Muzikal ‘Aku Jamal: Suara Emas Digital’.
Program 13 episod yang menemui penonton setiap Sabtu sejak 4 Julai tersebut sarat pengisian bukan sekadar berpaksikan persembahan, sebaliknya bersulam elemen temu bual, penceritaan dan mesej keselamatan digital.
Menurut Pengarah DJA Show, Rosnan Nordin, idea penghasilkan program tersebut lahir daripada hasrat Jamal yang mahu karya-karyanya didokumentasikan semula dalam bentuk lebih tersusun dan kekal sebagai rujukan generasi akan datang.
DJA Show ini sebenarnya mengabadikan legasi seorang legenda. Jamal pernah kata, belum ada lagi siri program seperti ini yang benar-benar menterjemahkan perjalanan album dan lagu-lagunya.
“Daripada impian itulah, kami cuba realisasikan satu bentuk arkib digital yang boleh ditonton semula anak-anak kita pada masa akan datang,” katanya.
Program tersebut juga bukan berbentuk konsert semata-mata, sebaliknya menampilkan persembahan lagu, temu bual dan perkongsian kisah di sebalik karya popular Jamal.
Tambahnya, sebanyak 13 album Jamal yang pernah diterbitkan menjadi antara asas kepada pembikinan siri tersebut.
“Lagu-lagu Jamal ini perlu terus diangkat kerana beliau seorang legenda. Kalau bukan sekarang, bila lagi generasi baharu dapat mengenali karya-karya beliau dengan cara yang lebih dekat dan segar,” ujarnya.
Lebih menarik, program tersebut turut membawa mesej ‘Internet Selamat’ hasil kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Gabungan muzik, penceritaan dan pesanan keselamatan dalam talian menjadikan program itu bukan sekadar nostalgia buat peminat Jamal, malah medium menyampaikan kesedaran mengenai penggunaan internet secara bertanggungjawab.
Sementara itu, Jamal sendiri menyifatkan DJA Show sebagai satu cara berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seninya.
Jika dahulu ada pelbagai program seumpama ini, sekarang sudah tidak ada. Jadi, program ini boleh menjadi rujukan 100 tahun atau 200 tahun akan datang, orang boleh tengok semula siapa Jamal Abdillah,” katanya.

PENERBITAN DJA Show bukan sekadar tentang muzik dan kembara Jamal Abdillah tetapi turut diselitkan mesej ‘Internet Selamat’ hasil kerjasama dengan MCMC.
Dalam program tersebut, Jamal turut berkongsi pentas dengan beberapa artis jemputan, antaranya Aris Ariwatan, Fauziah Ahmad Daud, Hazama, Amelina, Aishah Retno serta ramai lagi, tidak terkecuali dua puteranya, Osama Yamani dan Zaki Yamani.
Bukan itu sahaja, DJA Show turut menampilkan segmen bersama penulis lirik ternama seperti Datuk Habsah Hassan, S. Amin Shahab, Fauzi Marzuki selain individu-individu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan seni Jamal sejak awal kemunculan.
DJA Show bukan sekadar sebuah program hiburan, tetapi penghormatan terhadap perjalanan seni seorang legenda yang suaranya pernah menjadi latar emosi pelbagai generasi.
Pengisiannya menyeluruh. Ada penulis lirik, wartawan dan jurufoto hiburan yang merakam gambar saya sejak puluhan tahun lalu.
“Ada juga kisah di sebalik lagu yang mungkin ramai tidak tahu,” katanya.
Untuk program berkenaan, secara keseluruhan terdapat lebih 100 buah lagu dipersembahkan.
“Untuk 13 episod ini, lebih kurang 117 lagu dipersembahkan termasuk artis jemputan. Saya sendiri menyanyikan sekitar 80 hingga 90 buah lagu.
Pengalaman menyanyi secara rakaman dan persembahan langsung berbeza. Sebab itu saya mahu penonton melihat sisi lain lagu-lagu ini apabila dipersembahkan semula,” katanya.
DJA Show bukan sekadar sebuah program hiburan, tetapi penghormatan terhadap perjalanan seni seorang legenda yang suaranya pernah menjadi latar emosi pelbagai generasi.
Jaga suara
Jamal turut mengakui kesihatan vokalnya ketika ini menuntut dirinya lebih berhati-hati, terutama selepas menjalani pembedahan hernia baru-baru ini.
Penyanyi berusia 67 tahun itu berkata, jadual seni yang terlalu padat membuatkan dia hampir tidak cukup masa untuk merehatkan kotak suara.
“Selepas pembedahan, saya rasa penyampaian saya tidak seperti biasa. Saya perlu berehat sekurang-kurangnya dua bulan untuk betulkan semula peti suara.
Kalau suara masih tidak kembali seperti dahulu, mungkin lebih baik saya bersara.
“Bagi saya, menyanyi bukan soal wang atau populariti. Saya mahu penonton benar-benar puas dengan apa yang saya sampaikan,” luahnya.
Mengenai kenyataan bersara yang pernah dibuat sebelum ini, Jamal sekali bertegas, itu sekadar gurauan pentas, namun tidak menolak hakikat bahawa fokusnya kini lebih serius terhadap kemampuan vokalnya.
Biarpun berdepan cabaran kesihatan, Jamal juga belum berhenti berkarya apabila bakal merakamkan sebuah single baharu ciptaan komposer dari Singapura. – HIBGLAM
