‘Saya lebih rela tidak relevan daripada berpura-pura’

TIDAK gentar berdepan kecaman dan salah tafsir, pengacara serta pelakon Cik Puan Sarimah Ibrahim lebih rela dilabel tidak lagi relevan daripada terpaksa berpura-pura semata-mata mahu memuaskan hati orang ramai.

Ujar Sarimah, 48, keberanian melontarkan pandangan bukan bermakna dirinya kebal terhadap kritikan, sebaliknya lahir daripada prinsip untuk terus menjadi diri sendiri serta mempertahankan perkara dipercayainya benar.

“Berkongsi pandangan secara terbuka sebenarnya sangat sukar dan menakutkan. Sejak dahulu lagi orang mengenali saya sebagai seorang yang lantang bersuara, tetapi kita perlu berani.

Itulah diri saya. Saya tidak pernah lari daripada apa orang kata atau apa orang anggap sebagai jenama diri saya. Saya lebih rela tidak relevan daripada menjadi seseorang yang berpura-pura.

“Hampir tiga dekad saya berpegang pada prinsip itu. Setiap orang ada cara pemasaran masing-masing. Pendekatan saya cuma satu, kekal menjadi diri sendiri. Itulah jenama saya dan saya akan terus mempertahankannya,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon drama Bila Cinta Menjadi Dosa itu, cabaran terbesar pada era digital ialah setiap kenyataan mudah disalah tafsir sehingga apa sahaja pendapat mampu mencetuskan pelbagai persepsi.

Sekarang kita perlu menyesuaikan diri dengan apa boleh dan tidak boleh diperkatakan, sedangkan kita hanya mahu menjadi diri sendiri. Persekitaran hari ini sangat berbeza kerana tafsiran orang terhadap apa kita cakap terlalu luas.

“Misalnya kita kata bunga ini merah, akan ada seribu orang mengatakan bunga itu hitam. Tiada siapa betul atau salah.

“Pada usia sekarang, saya tidak boleh terlalu takut dengan apa orang kata. Kita perlu yakin dengan diri sendiri. Kita berani kerana kita benar,” ujarnya pada majlis pelancaran produk baharu dan pelantikan sebagai duta jenama Labrich, baru-baru ini.

Dalam masa sama, ibu satu anak itu menyifatkan budaya media sosial hari ini jauh lebih keras berbanding ketika dia mula mencipta nama hampir tiga dekad lalu.

Sekarang memang jauh lebih kasar. Saya sangat kasihan kepada artis baharu. Dahulu, kalau orang hendak marah kita, mereka perlu membeli setem, menulis surat dan pergi ke pejabat pos. Mungkin sebelum surat dihantar, mereka sudah sejuk hati dan berubah fikiran.

“Sekarang semuanya berlaku terlalu pantas. Orang marah, terus menulis dan memuat naik. Tiada ruang untuk menekan brek. Dahulu semuanya mengambil masa, jadi orang sempat berfikir. Kini semuanya terlalu pantas,” luahnya.

Terdahulu, Sarimah menjadi perhatian ramai apabila sering berkongsi pandangan lantang mengenai pelbagai isu semasa dalam media sosial, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

Dalam perkembangan lain, Sarimah turut diumumkan sebagai duta rasmi Labrich, jenama kesihatan tempatan yang memperkenalkan dua produk baharu iaitu Labrich TriBio Women Wellness dan Labrich TriBio Kids menerusi acara The Labrich Reveal: Nurturing Generations, Empowering Vitality.

Pemilihannya sebagai wajah jenama dibuat kerana personalitinya mencerminkan wanita moden yang aktif, mengutamakan kesihatan, berkeyakinan serta mampu memberi inspirasi kepada masyarakat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok