‘Bila kita membina hubungan ikhlas, peluang akan datang mencari’

PELAKON Diana Danielle percaya peluang dan rezeki dalam industri seni bukan hanya bergantung kepada bakat semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi hubungan baik serta kehadiran konsisten dalam kalangan rakan industri.

Ujar Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, bidang seni bersifat bebas dan peluang pekerjaan tidak menentu, sekali gus menyebabkan ramai penggiat industri berasa sukar memperoleh tawaran baharu.

“Dalam industri seni yang bebas dan berdasarkan projek, soal kekal relevan memang sering menjadi perbualan kerana peluang kerja tidak sentiasa menentu. Saya sudah banyak berbual dengan rakan-rakan yang merasakan peluang semakin sukar diperoleh.

“Satu perkara yang sentiasa menjadi pegangan saya ialah hadir bukan hanya ketika bekerja.

“Sudah tentu apabila kita menerima tawaran, kita datang tepat pada waktunya, melakukan kerja sebaik mungkin dan menjadi individu yang mudah bekerjasama. Namun, kadang-kadang itu sahaja masih belum mencukupi,” katanya dalam Threads.

Tambah bintang filem Imaginur itu, dia sentiasa meluangkan masa menghadiri acara industri, menyokong projek rakan artis dan mengekalkan hubungan baik tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Apa yang benar-benar memberi perubahan dalam hidup saya ialah sentiasa hadir dalam industri walaupun di luar waktu bekerja.

“Saya menghadiri majlis, menyokong projek orang lain, datang ke pelancaran produk dan meluangkan masa bertemu rakan-rakan lama.

“Bukan kerana saya sedang mencari pekerjaan, tetapi kerana mengekalkan hubungan itu juga sebahagian daripada kerjaya ini,” ujarnya.

Paling penting kata ibu dua anak itu, dia tidak pernah membezakan layanan terhadap sesiapa kerana percaya setiap individu mempunyai perjalanan hidup serta rangkaian hubungan tersendiri.

“Saya juga cuba melayan semua orang dengan cara sama. Saya tidak pernah menganggap seseorang itu terlalu kecil, tidak penting atau tidak berbaloi untuk diberikan perhatian.

“Setiap orang mempunyai cerita, rangkaian kenalan dan perjalanan hidup masing-masing,” tegasnya.

Diana turut mengakui peluang terbesar dalam kerjayanya hadir daripada individu dan situasi yang langsung tidak dijangka.

“Ironinya, apabila kita sentiasa hadir, membina hubungan dengan ikhlas dan kekal aktif dalam industri walaupun di luar tugasan, peluang selalunya akan datang mencari kita.

“Sebahagian peluang terbesar dalam hidup saya datang daripada tempat dan individu yang langsung tidak saya sangka.

“Jadi, kalau perkongsian ini memberi makna kepada anda, cubalah amalkan. Ini sudah banyak membantu saya dan saya harap memberi manfaat kepada anda,” jelasnya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, malah ramai bersetuju bahawa sikap merendah diri, menjaga hubungan serta profesionalisme menjadi kunci untuk bertahan dalam mana-mana bidang kerjaya.

Tidak kurang juga ada pengguna media sosial berkongsi pengalaman sendiri apabila peluang pekerjaan hadir hasil jaringan kenalan dan hubungan baik yang dibina tanpa mengharapkan balasan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok