“BEGITU bangsat lidah seorang pembenci.”
Demikian penegasan pendakwah bebas, PU Rahmat yang mempertahankan sahabatnya, penyanyi Zizi Kirana susulan dakwaan melakukan hubungan terlarang ketika menyertai misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla pada tahun lalu.
Rahmat atau nama penuhnya Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan, 33 mempersoalkan bagaimana tergamaknya seseorang mengaitkan perbuatan zina dengan sebuah misi suci yang bertujuan membantu pembebasan Gaza.
“Kenapa lidah begitu bangsat mengaitkan dosa zina yang tiada asal-usul.
“Dikaitkan pula dengan perjuangan pembebasan Gaza.
“Wahai kau yang berada di sebalik akaun palsu, mereputlah kau bersama Netanyahu (Perdana Menteri Israel),” katanya dalam Threads.
Pada masa sama, Rahmat mengingatkan perpisahan antara Zizi dan Yusuf Bahrin yang juga pelakon bukanlah penamat kepada segala-galanya.
“Perceraian bukanlah titik akhir hubungan. Boleh jadi selepas ini hati bertaut kembali.
Dan jika pun tidak dirujuk selepas perceraian, bukankah Yusuf dan Zizi masing-masing ada hak untuk mencari kebahagiaan yang lain,” katanya lagi.
Sebelum ini, seorang netizen mendakwa punca perpisahan yang terjadi antara Zizi dan Yusuf disebabkan hubungan terlarang ketika menyertai misi kemanusiaan.
“Mesti dah terlanjur masa Sumud,” tulis netizen.
Semalam, pemilik nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil, 41, dan Yusuf sah bercerai talak satu secara raji’e di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Terdahulu, rumah tangga mereka didakwa goyah selepas Zizi dan Yusuf memuat naik foto menyambut Aidilfitri secara berasingan.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM
