SIAPA sangka rumah tangga yang dibina selama sedekad hancur musnah sekelip mata. Itu yang berlaku terhadap mahligai cinta Nubhan dan Dr. Afifah Hidayah pada Disember lalu.
Selepas berpisah, masing-masing membawa haluan sendiri tetapi berganding bahu menjaga kebajikan anak-anak.
Atas sikap tolak ansur dan semangat toleransi, Afifah atau mesra disapa Dr. Fie akur untuk memberi ruang kepada bekas suaminya menyambut Aidilfitri bersama anak-anak terlebih dahulu.
“Raya pertama tahun ini saya bersama keluarga. Anak-anak bersama abahnya, raya kedua baru mereka ada dengan saya.
“Tapi alhamdulillah kita hargai saja, mungkin nak lebihkan masa dengan keluarga pula dan juga keluarga besar belah Kuantan yang jarang jumpa.
“Banyaklah masa untuk saya luangkan dengan keluarga. Raya kedua saya habiskan masa dengan anak-anak pula,” katanya kepada HibGlam.
Bercakap mengenai persiapan Syawal di kampung halamannya, Dr. Fie atau nama penuhnya Afifah Hidayah Ahmad Tawfek mengakui sudah lama tidak menikmati juadah tradisi di Pahang.
“Kalau tradisi di kampung memang selalu masak. Cuma belah saya moden sikit kami banyak tempah.
“Di Kuantan saya tertunggu-tunggulah ketupat palas, saya dah lama tak rasa masakan belah Pahang.
“Selalunya saya balik Pahang mungkin dua minggu selepas raya, jadi tak banyak sangat masakan raya,” ujarnya.
Pertama kali beraya sendirian, wanita berusia 36 tahun itu mengakui wujud rasa kekok dan janggal, namun bersyukur kerana masih dikelilingi keluarga tersayang.
“Kekok, orang lain ambil gambar keluarga saya nak ambil dengan siapa? Mungkin bergambar solo.
“Tapi alhamdulillah, saya masih ada ibu bapa, adik-beradik yang masih belum berkahwin. Tapi raya tahun ini tak macam selalu, dulu kita akan ada gambar dengan anak-anak,” katanya.
Anak kedua
Dalam pada itu, doktor gigi bertauliah itu mendedahkan anak keduanya merupakan individu yang paling terkesan dengan perubahan status hubungan ibu bapanya.
“Saya tak beritahu raya asing cuma sebelum ini maklumkan kena raya rumah abah dulu selepas itu baru ibu. Jadi tak ada rasa macam tak raya sama-sama.
“Penerimaan anak nombor satu, dia tak kisah, janji dia beraya dapat duit raya dan gembira. Nombor dua yang agak sensitif, soalan dia agak panas.
“Dia tanya kenapa ibu tak raya dengan abah, tak sayang abah ke? Saya akan jawab, sayang. Dia tetaplah abah kepada anak-anak saya,” tuturnya.
Sebelum menutup bicara, Dr. Fie juga mempersiapkan mental sepanjang berdepan soalan-soalan tipikal daripada saudara-mara.
“Lazimnya raya, orang akan tanya bila nak kahwin, bila nak dapat anak. Sekarang lain pula.
“Dahulu sudah kena tanya soal jodoh. Kita dah umur berapa, saya tak risau soalan-soalan ini cuma soalan fasal anak saya sedih jugalah.
“Bila kita raya solo, selama ini sudah biasa siapkan anak. Tahun ini pertama kali tak perlu buat, cuma siapkan diri sendiri saja, bersolek lebih hebat,” tutupnya.
