PERNAH disaran cipta kontroversi demi publisiti pantas, pelakon Raden Zaharatul lebih selesa membina nama secara konsisten tanpa dibebani tekanan populariti.
Raden atau nama sebenarnya, Raden Zaharatul Maisarah Afzzal Reehan, 27, berkata, sepanjang hampir sedekad di arena seni sudah pelbagai cabaran dilalui sekali gus membuatkannya dirinya berpegang teguh pada prinsip.
“Berbanding beberapa rakan sama ‘batch, saya tahu nama saya kurang dikenali. Saya percaya masa itu akan tiba tepat pada waktunya. Ikutkan peluang untuk menyerlah dengan pelbagai cara memang ada, cuma saya tak selesa buat-buat cerita.
“Malah bagi saya tak bermakna kita menyepikan diri itu tiada tawaran. Alhamdulillah, sepanjang tempoh hampir 10 tahun ini bakat saya dilihat penerbit filem.
“‘Saya tak terdesak reka cerita demi nak popular. Bagi saya populariti yang dibina atas perkara negatif tak bertahan lama. Biarlah begini kerana yang penting masih ada tawaran ‘masuk’, katanya ketika ditemui di acara KLFW X Tomei, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, pelakon filem Harimau Merah: Konflik Bermula itu tidak menolak dakwaan pernah disarankan agar mereka cerita kononnya bercinta dengan seseorang bagi meraih perhatian ramai.
Begitupun, Raden menyifatkan pendekatan sebegitu hanya memakan diri dan menyifatkan pendekatan sebegitu sebagai tidak sihat.
“Banyak cara nak membina nama. Sejujurnya, memang ada pihak yang cuba mengaitkan saya dengan mana-mana lelaki namum saya abaikan.
“Kenapa perlu kita ikut cadangan negatif. Susah payah saya nak bina kerjaya seni ini, jadi saya enggan hanya disebabkan nafsu ingin cepat nama meroket saya sanggup langgar prinsip.
“Lagipun banyak hati perlu dijaga keluarga dan ibu bapa yang bagi saya kepercayaan bergelar anak seni. Saya takkan gelap mata. Biarlah begini, janji prinsip kita dihormati,” ujarnya.
Pada masa sama, juara program Fit For Action 2022 anjuran TV3 itu bersyukur selain bakat lakonan, dia sering diundang ke acara membabitkan jenama popular.
“Banyak lagi impian yang nak saya capai dalam industri seni. Apabila diminta mewakili sesuatu jenama, ini juga satu bentuk kepercayaan,” kongsinya. – HIBGLAM
