DALAM dunia hiburan Korea Selatan yang sarat peraturan ketat dan tuntutan imej bersih, berita mengenai hubungan cinta selebriti sering kali menjadi tumpuan utama.
Namun, kontroversi besar boleh tercetus sekiranya perhubungan itu melibatkan jurang usia yang ketara terutama jika salah seorang masih di bawah umur.
Meskipun cinta dianggap hak peribadi, netizen tidak boleh menerima sekiranya selebiriti pujaan ramai menjalin hubungan dengan individu yang belum mencapai usia dewasa mengikut undang-undang.
Ini kerana bagi mereka, selebriti sewajarnya menunjukkan contoh yang baik kerana apa yang golongan itu lakukan akan jadi ikutan ramai.
Kali ini, HibGlam menyenaraikan beberapa pasangan selebriti yang pernah menjadi bahan berdebatan hangat berkaitan isu ini.
Choiza, Sulli

ANTARA hubungan paling menggemparkan industri K-pop melibatkan penyanyi rap Choiza dan mendiang Sulli.
Ketika khabar angin mengenai hubungan mereka mula tersebar pada September 2013, Sulli baru sahaja menginjak usia 19 tahun (usia remaja di Korea), manakala Choiza pula berusia 34 tahun.
Perbezaan usia 14 tahun mencetuskan perdebatan hangat orang ramai mengenai pengaruh pasangan dewasa terhadap remaja yang baru mahu mengenali dunia.
Choiza dan Sulli menjalinkan hubungan cinta selama tiga tahun setengah sebelum memutuskan untuk berpisah pada Mac 2017.
Susulan pemergian Sulli pada Oktober 2019, ahli kumpulan Dynamic Duo itu menjadi sasaran netizen yang melemparkan komen berbaur kebencian yang akhirnya memaksa dia menutup ruangan komen dalam media sosial miliknya.
Sandara Park

DALAM sebuah video YouTube, penyanyi Sandara park menceritakan tentang zaman mudanya sebelum bergelar penyanyi ketika menetap di Filipina.
Menurut ahli kumpulan 2NE1 itu, sewaktu berusia 19 dia pernah mendedahkan menjalin hubungan cinta dengan remaja lelaki berusia 14 tahun.
Sebaik sahaja video pengakuan itu dimuat naik, Sandra dihujani reaksi negatif netizen memandangkan percintaan bawah umur dianggap memanipulasi remaja bawah umur.
Pendedahan dibuat Sandra itu dianggap tidak sensitif dan tidak sepatutnya dibanggakan sebagai satu kenangan manis.
Young J

DUNIA tarian dikejutkan dengan kontroversi melibatkan ketua kumpulan Just Jerk, Young J, yang didakwa menjalin hubungan romantik dengan salah seorang ahli kumpulannya yang masih di bawah umur.
Isu ini mula mendapat perhatian apabila wujud dakwaan pemilik nama asal Sung Young-jae menggunakan kedudukannya sebagai ketua untuk mendekati dan menjalin hubungan dengan penari junior.
Perbezaan usia sebanyak 13 tahun antara mereka mencetuskan kebimbangan mengenai isu grooming.
Keadaan menjadi lebih parah apabila timbul khabar kekasih Young J menggugurkan kandungan.
Tidak berpeluk tubuh, lelaki berusia 34 tahun itu dengan tegas menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan hubungan mereka didasari perasaan suka sama suka serta mendapat restu daripada ibu bapa pihak perempuan.
Meskipun dihujani kritikan, Young J baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk berkahwin dengan wanita pilihannya itu.
Media melaporkan beberapa anggota asal Just Jerk memilih keluar daripada kumpulan itu sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Young J yang dianggap tidak profesional.
Ryu Philip, Mina

ISTILAH usia hanyalah angka sangat bertepatan dengan pasangan Ryu Philip dan Mina.
Bertemu di sebuah majlis hari lahir pada Jun 2015, Philip mengakui jatuh cinta pandangan pertama terhadap Mina tanpa menyedari wanita itu 17 tahun lebih tua daripadanya.
Ketika itu, Mina atau nama asalnya Mina Sharon Myoi, sudah berusia 43 tahun manakala Philip baru sahaja mencecah 26 tahun.
Hubungan terbabit pada mulanya mendapat tentangan keras daripada keluarga kedua-dua belah pihak.
Namun, selepas tiga tahun mengharungi pelbagai rintangan dan cemuhan masyarakat, mereka membuktikan keikhlasan cinta dengan mendaftarkan perkahwinan secara rasmi pada 2018. – HIBGLAM
