SEDAR keadaan ibunya yang tidak sekuat dahulu, penyanyi Nubhan mengambil inisiatif menghadiahkan sebuah katil hospital khas demi keselesaan wanita.
Jelas Nubhan atau nama lengkapnya Ahmad Nubhan Ahamad, 40, ibunya iaitu Badariah Omar atau lebih mesra disapa Mak Jenny tidak mengalami penyakit serius sebaliknya faktor usia menyebabkan keadaan fizikalnya semakin lemah.
“Semua yang saya bina hari ini bermula dengan tangan wanita ini (ibu).
Saya tak mampu balas segalanya, sekurang-kurangnya saya pastikan mak selesa,” katanya dalam TikTok.
Difahamkan, bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam itu mengganti katil lama yang agak tinggi sekali gus menyukarkan pergerakan ibunya.
Rata-rata memuji sifat keprihatinan pelantun lagu Kasih Untukku yang sentiasa meletakkan kebajikan ibunya sebagai keutamaan nombor satu dalam hidup.
“Nubhan ini saya puji bab kebajikan omak Jenny (ibu Nubhan) nombor satu,” kata netizen.
Anak yang baik, terharu tengok. Bertuah mak Jenny, biarlah apa orang kata dekat Nubhan teruskan berjasa ke omak selagi ada,” kata netizen lain.
“Kenapa aku rasa sebak tengok Nubhan melayan mak dia. Mungkin sebab saya seorang mak, terasa pula bila anak-anak prihatin,” ujar pengikut.
Mak Jenny popular selepas Nubhan mula berkongsi video-video lucu bersama syurganya itu yang kemudiannya menjadi trending dalam kalangan netizen termasuk menerima tajaan melancong dan sebagainya. – HIBGLAM
