Ramadan cuti tahunan saya, banyak di rumah – Neelofa

BERBAKI kurang seminggu menjelang Ramadan , selebriti versatil Neelofa merancang untuk mengurangkan komitmen kerjaya demi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan pengisian rohani.

Bagi Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Nor, 37, tempoh sebulan berpuasa adalah waktu terbaik untuk berehat daripada aktiviti seni.

“Ramadan tahun ini saya ambil pendekatan untuk tak bekerja sangat, sikit-sikit sahaja.

Yang penting saya banyak di rumah, memang macam cuti tahunan sayalah bulan puasa ini,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya mengenai keinginan untuk menyambut Ramadan di Tanah Suci Mekah, Neelofa menjelaskan kekangan anak yang masih kecil membuatkan beliau terpaksa menangguhkan hasrat tersebut.

Saya tak pernah lagi ada pengalaman berpuasa di Mekah, lagi-lagi ada anak kecil ini susah sikit nak keluar.

“Insya-Allah kalau ada rezeki, nak juga rasa,” ujarnya.

Mengulas mengenai sasaran Ramadan kali ini, bekas pengacara Next To Neelofa itu mahu meningkatkan ibadah harian berpandukan nasihat Ustaz Wadi Annuar.

Saya ingat lagi program Ustaz Wadi, sebelum Ramadan dia kata keluarkan kertas dan set target sedekah, berapa kali nak solat sunat serta baca al-Quran.

“Buat senarai semak, jadi kita ada hala tuju ke mana kita bergerak,” jelasnya.

Tadabbur

Dalam pada itu, ibu kepada dua anak itu turut menzahirkankan rasa syukur kerana kesedaran masyarakat untuk mempelajari tadabbur al-Quran kini semakin meningkat.

“Alhamdulillah, sekarang ramai yang nak belajar taddabur. Dulu susah nak cari kelas atau ustaz yang boleh datang mengajar.

Masa mula kenal Haris (suami), dia carikan ustazah untuk mengajar saya al-Quran dan fardu ain.

“Tapi sekarang alhamdulillah, banyak pilihan kelas tadabbur dan orang seronok sebab mereka memahami al-Quran lebih daripada sekadar bacaan,” ujarnya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok