‘Amanah ini akan saya laksanakan dengan penuh komitmen, integriti’

PENYANYI Datuk Syafinaz Selamat meluahkan rasa syukur dilantik semula sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi penggal kedua.

Syafinaz, 53, menyifatkan pelantikan semula tersebut sebagai satu penghormatan besar serta amanah yang akan dipikul dengan penuh komitmen.

“Alhamdulillah. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada UPSI, khususnya Fakulti Muzik dan Persembahan di atas kepercayaan yang sekali lagi diberikan kepada saya melalui pelantikan sebagai Profesor Adjung Tersohor bagi penggal kedua.

Pelantikan ini merupakan suatu penghormatan yang amat besar serta amanah yang akan saya laksanakan dengan penuh komitmen, profesionalisme dan integriti,” katanya dalam komen Instagram.

Tambahnya, pengiktirafan tersebut menjadi dorongan untuknya terus menyumbang secara aktif dalam memperkasakan mutu pendidikan tinggi tempatan serta pembangunan modal insan dalam bidang seni.

Insya-Allah, saya akan terus berusaha menyumbang kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi serta pembangunan modal insan melalui jalinan kerjasama yang berterusan.

“Semoga kepercayaan yang diberikan ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kecemerlangan institusi dan memberi manfaat kepada masyarakat serta negara,” jelasnya.

Sebelum ini, Syafinaz dilantik sebagai Profesor Adjung Tersohor di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, UPSI yang berkuat kuasa selama dua tahun bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028

Khabar gembira itu diumumkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menerusi hantaran di media sosial malam tadi yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Syafinaz atas pelantikannya.

Pada Ogos tahun lalu, ikon seni suara negara tersebut turut dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI bagi tempoh 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026.

Dengan pengalaman sebagai penggiat muzik, penyanyi serta pendidik vokal, Syafinaz kini mempunyai platform lebih luas untuk menyumbang kepada kesinambungan ekosistem seni tanah air. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok