‘Ada waktu keliru, setakat ini tudung masih atas kepala’

PELAKON Kilafairy menafikan dakwaan kononnya terdetik kembali tidak bertudung kerana tawaran lakonan semakin berkurangan, sebaliknya mengakui semua itu tercetus daripada pergolakan jiwa insan yang lemah.

Ujar Kila atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 34, rezeki sebagai anak seni masih mengalir baik dan tidak pernah menjadi punca wujudnya perasaan tersebut.

“Memang bukan sebab tiada tawaran, sejujurnya tawaran berlakon masih okey. Alhamdulillah.

Cuma tidak dinafikan pada waktu tertentu, datang satu rasa yang entah kenapa terlintas, macam senang kalau keluar tanpa tudung. Keluar saja tanpa fikir apa-apa. Tapi rasa itu cepat-cepat  saya tahan,” katanya kepada HibGlam.

Tambah bintang filem Karak itu, sokongan serta doa orang sekeliling menjadi kekuatan untuk terus kekal berhijab hingga hari ini.

Kila bagaimanapun tidak menafikan dirinya masih berperang dengan perasaan sendiri dan cuba melawan sebaik mungkin.

“Setakat ini Alhamdulillah, tudung masih di atas kepala. Doakanlah supaya berterusan sampai bila-bila.

Saya percaya, saya pakai tudung pun hasil doa orang. Jadi doa itu sangat kuat kesannya.

“Ada waktu saya sendiri keliru, tapi saya masih melawan perasaan itu. Berkat doa semua, saya masih bertahan,” ujarnya ketika ditemui di set penggambaran supertele Flat Simpang Satu, di sini, semalam.

Paling penting kata anak kepada Allahyarhamah Rohana Jalil itu, detik goyah tersebut membuatkan dirinya mencari kekuatan dengan merujuk golongan berilmu.

Malah dia turut menyifatkan perasaan itu bukan sesuatu yang asing keranadialami ramai wanita tanpa mengira latar belakang.

Apabila rasa itu datang, saya terus hubungi ustazah. Ustazah cakap, ‘di sinilah pahala awak’. Katanya, usaha menahan diri daripada membuka tudung itu sendiri satu ganjaran.

“Tapi sebenarnya ramai juga mesej saya dan cakap, ‘ya Allah, saya ingat saya seorang saja rasa macam ni’.

“Saya suka bila mereka tahu mereka tak keseorangan. Saya rasa hampir setiap wanita pernah lalui fasa begitu,” luahnya.

Ditanya sama ada menerima nasihat daripada rakan-rakan selebriti, Kila mengakui keputusan tersebut banyak bergantung pada kekuatan diri sendiri.

“Tak ada nasihat secara khusus daripada kawan-kawan.

Ada juga yang hubungi, tapi akhirnya diri sendiri juga kena kuat. Dalam hati selalu cakap, ‘sayangnya nak buka’. Jadi rasa itu masih kekal,” tuturnya.

Sebelum ini, Kilafairy pernah mendedahkan dirinya sedang berperang dengan perasaan untuk kembali tidak bertudung, sekali gus membuka mata ramai tentang cabaran sebenar mengekalkan istiqamah.

Pelakon tersebut mula berhijab pada 2020 dan mengakui hanya selepas melalui sendiri perjalanan itu, baharulah dia benar-benar memahami betapa sukarnya untuk terus kekal di jalan sama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok