‘Pelik ramai ucap tahniah, makan banyak sampai perut isteri kembung’

Didakwa bakal menimang cahaya mata, penyampai radio Fizi Ali tampil menidakkan dakwaan tersebut susulan perkongsiannya memegang perut isterinya, Siti Zulaikha, dalam sebuah foto baru-baru ini.
Menurut Fizi atau nama sebenarnya Mohd. Hafizudin Alimudin, 36, tindakannya berbuat demikian kerana perut isterinya kembung akibat makan terlalu banyak sehingga menimbulkan salah faham.
“Tiba-tiba pagi ini ramai jumpa bagi ucapan tahniah. Ada yang DM (mesej langsung), ada yang mesej. Pelik apa yang tahniah, bila tanya mereka senyum-senyum.
“Bila periksa balik, gambar ini rupanya buat ramai cakap tahniah. Ingatkan Mamatiz (panggilan isteri) mengandung.
Bukan, ceritanya gambar ini semalam makan banyak sangat sampai perut Mamatiz kembung nak meletup. Itu pegang perut dia. Maaf kalau ada yang salah sangka,” katanya dalam aplikasi Threads.
Dalam masa sama, pelakon drama Di Sebalik Kasyaf itu memaklumkan akan berkongsi khabar gembira sekiranya dikurniakan rezeki menambah cahaya mata pada masa hadapan.
“Kalau ada insya-Allah kita akan beritahu. Terima kasih doa yang baik-baik untuk kami,” katanya lagi.
Untuk rekod, Fizi dan Zulaikha mendirikan rumah tangga pada 23 Oktober 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada Julai tahun lalu.
Sebelum ini Fizi pernah berkahwin dengan pelakon, Shakilla Khoriri pada 18 Januari 2018 namun bercerai pada Disember 2021.
Hasil perkongsian hidup mereka mempunyai seorang cahaya mata perempuan bernama Ameena Sofea yang kini berusia lima tahun. – HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok