TERLIBAT dalam naskhah Kudrat 1968 yang sarat dengan adegan pergaduhan dan buli, pelakon Evertts Gomes menegaskan karya itu tidak seharusnya dilihat sebagai medium menggalakkan keganasan, sebaliknya menjadi cermin untuk masyarakat memahami punca sebenar sesuatu masalah.
Ujar Evertts atau nama sebenarnya Evertts McClane Gomes, 28, filem berfungsi menyuntik kesedaran kepada penonton, bukannya mengajar mereka meniru perlakuan negatif dipaparkan di layar.
“Pada pendapat saya, tiada jawapan betul atau salah kerana ini pandangan peribadi.
Apabila kita menonton karya memaparkan isu buli atau contoh lain seperti kecurangan, itu bukan bermaksud filem tersebut mengajar atau menggalakkan kita melakukan perkara sama.
“Sebaliknya, karya sebegini membuka mata masyarakat supaya memahami dari mana datangnya punca buli, kecurangan dan pelbagai masalah lain,” katanya kepada HibGlam.
Tambah bekas peserta Hero Dewi Remaja 2023 itu, drama atau filem juga mampu membantu seseorang melihat realiti di sebalik sesuatu situasi, termasuk perkara tidak disedari berlaku dalam kehidupan seharian.
“Contohnya dalam rumah tangga, seorang isteri mungkin percaya sepenuhnya kepada suami apabila menerima mesej mengatakan dia bekerja lebih masa.
“Tetapi kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku di tempat kerja.
Sebab itu ada drama mengangkat kisah curang. Bukan untuk mengajar orang berlaku curang, tetapi memberi kesedaran supaya pasangan lebih peka, berhati-hati dan tidak terlalu alpa,” ujarnya pada sidang media dan pengenalan pelakon Kudrat 1968.
Mengulas isu buli pula, Evertts berpendapat ibu bapa perlu menyelami akar umbi permasalahan berbanding terus menghukum pelaku tanpa memahami latar belakang kehidupan mereka.
“Dalam isu buli juga sama. Sebagai ibu bapa, kita tidak semestinya terus memarahi kanak-kanak membuli anak kita.
“Sebaliknya, cuba cari punca. Mungkin cara mereka dibesarkan atau suasana di rumah menjadi faktor membentuk sikap sedemikian.
“Kes buli semakin berleluasa, sebab itu semakin banyak drama dan filem mengangkat isu tersebut. Namun, tujuan utamanya bukan mengajar orang membuli, sebaliknya mengajak masyarakat mencari punca dan meningkatkan kesedaran,” tuturnya.
Terdahulu, nama Mierul Aiman diumumkan sebagai teraju utama Kudrat 1968 sebelum Astro Shaw memperkenalkan lima lagi pelakon utama terdiri daripada Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith.
Evertts memegang watak sebagai Ghafar, seorang pelajar yang sering mengelak daripada terlibat dalam sebarang konflik.
Kudrat 1968 diterbitkan Astro Shaw bersama rakan penerbit ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures dan HM Entertainment serta dijadual menemui penonton tahun ini.
Filem tersebut mengisahkan seorang pelajar dipaksa memasuki sebuah institusi dibina atas nama bapanya sebelum berdepan dilema sama ada mempertahankan sistem sedia ada atau menjadi individu memusnahkannya. – HIBGLAM
