PELAWAK Atu Zero mengakui tersinggung dengan kenyataan sinikal seorang pemimpin politik di Kedah yang seolah-olah mengumpamakan sokongan rakyat Sabah mudah diperoleh dengan hanya bermodalkan roti.
Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif berkata, sebagai individu yang membawa pulang bekalan roti dari Semenanjung balik ke Kudat, gurauan tersebut melukakan perasaan.
“Video seorang individu bergelar Yang Berhomat (YB) yang cakap fasal bagai roti kepada orang Sabah sudah viral.
Saya rasa tak baguslah kenyataan begitu, roti tiada kaitan pun. Malah, saya dan isteri setiap tahun balik Sabah akan bawa roti untuk diagihkan kepada kanak-kanak di kampung.
“Apabila ada orang dewasa mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya, hati ini terasa terguris apatah lagi kenyataan tidak wajar itu keluar dari mulut golongan kononnya bijak pandai,” tulisnya dalam media sosial.
Menurutnya, walaupun boleh memaafkan ketelanjuran individu terbabit, luka di hati penduduk Negeri Di Bawah Bayu lain belum tentu sembuh.
Saya boleh memaafkan kamu, tetapi bagaimana pula dengan saudara-saudara lain yang masih terasa dengan kenyataan sedemikian?” ujarnya.
Pada hantaran sama, Atu, 33, secara sinis menzahirkan teguran berkenaan adab seseorang terhadap orang sekeliling.
“Selalu saya nasihatkan anak-anak saya, ‘Ingat nak (anak), jangan merendah-rendahkan orang lain lebih-lebih lagi mereka yang lebih tinggi 198 sentimeter misalnya’,” tulisnya.
Katanya lagi, membawa bekalan roti ketika pulang ke kampung bukan sekadar simbol sebaliknya sudah menjadi rutin tahunannya bersama isteri, Shafeeqa Johari.
Kongsi Atu, setiap kali balik kampung mereka akan membawa lebih tiga beg bekalan roti untuk dijadikan buah tangan.
“Alhamdulillah, hampir setiap tahun saya dengan isteri bawa balik roti Gardenia untuk diagihkan kepada kanak-kanak di kampung.
Orang dewasa pun ada yang suka roti ni. Niat kami mahu berkongsi rezeki. Selalunya anggaran dalam tiga beg saiz besar saya penuhkan dengan roti.
“Rutin tahunan ini saya memang buat sejak jadi artis, iaitu selepas Raja Lawak musim keenam,” katanya.
Terdahulu, seorang pemimpin politik yang memberikan ucapan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) menyatakan: “Orang Sabah itu, kempen dia beri roti Gardenia saja”.
Bagaimanapun, individu terbabit kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataannya yang seolah-olah merendah-rendahkan rakyat Sabah selepas teruk dikritik. – HIBGLAM
