GLOBAL Sumud Flotilla (GSF) merupakan misi kemanusiaan dan inisiatif antarabangsa menghimpunkan doktor, aktivis, sukarelawan, ahli politik dan masyarakat, demi menyampaikan bantuan kepada Gaza.
Namun, tindakan rejim Israel memintas konvoi kemanusiaan GSF ke Gaza semalam terus mendapat kecaman rakyat Malaysia, termasuk doktor-doktor perubatan yang menzahirkan solidariti bersama aktivis terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, Dr. Afif Mohd. Ridzwan menyeru rakyat Malaysia untuk terus berdoa demi keselamatan semua aktivis GSF termasuk para doktor yang menyertai misi kemanusiaan itu.
“Sebagai doktor, saya mengagumi semangat perjuangan para doktor yang menyertai misi GSF demi memberi bantuan ubat-ubatan dan rawatan perubatan kepada rakyat Gaza.
“Namun, rasa hancur luluh hati apabila membaca laporan media serta media sosial apabila rejim Israel menghalang misi mulia itu. Sedangkan kita tahu, secara terang-terangan ini adalah misi kemanusiaan.
Tindakan tersebut tidak berperikemanusiaan dan jelas melanggar prinsip hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa. Orang nak datang tolong pun kena sekat. Ini sekaligus menafikan hak rakyat Palestin untuk menerima bantuan kemanusiaan,” katanya.
Terdahulu, sehingga ke hari ini, seramai hampir kesemua daripada 23 rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza, pada Rabu.
Tentera laut Israel dikatakan menceroboh naik dua kapal misi konvoi GSF iaitu Alma dan Sirius pada 9.44 malam waktu Gaza (2.44 pagi waktu Malaysia).
Dalam masa yang sama, Dr. Afif menyeru agar rakyat Malaysia terus berdoa demi keselamatan semua aktivis dan berjaya menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza.
“Mereka berjihad di jalan Allah, kita di sini teruskan berdoa dan solat hajat agar para aktivis termasuk doktor-doktor selamat dan sentiasa dalam lindungan-Nya.
“Sebarkan, kongsikan dan ceritakan sebanyak mungkin tentang GSF dalam media sosial agar satu dunia tahu ini adalah misi kemanusiaan dan bukannya satu bentuk provokasi yang didakwa pihak rejim Israel.
“Bukan itu sahaja, kita semua perlu bersatu dalam hal ini. Saya tahu, anda di luar sana melakukan pelbagai cara terutamanya menerusi media sosial untuk terus menyebarkan apa sahaja mengenai GSF dan Palestin.
“Masing-masing ada cara atau strategi untuk tularkan video atau mesej berkaitan apa yang kita perjuangkan sekarang. Mereka saudara kita, kalau bukan kita, siapa lagi?
“Dalam masa yang sama, abaikanlah komen-komen negatif netizen yang guna kesempatan ini untuk meraih perhatian. Jangan dilayan,” tambahnya lagi. – HIBGLAM