SETELAH hampir setahun menyepi tanpa menghadiahkan buah tangan buat peminat, penyanyi Aina Abdul akhirnya kembali memecah sunyi dengan single terbaharu berjudul Sesaat.
Kemunculan kali ini juga cukup berbeza. Sesaat bukan hasil nukilan Aina sendiri, sebaliknya lahir daripada sentuhan kreatif anak seni seberang termasuk Fabio Asher, Trakast, Yafi Aria serta penerbit Rico Andre.
Jika sebelum ini pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, 32, itu sinonim dengan dendangan penuh dramatik dan vokal meledak emosi, Sesaat tampil sebagai sisi tenang yang sarat penghayatan.
Alunan galau menjadikan lagu ini terasa begitu dekat, seolah-olah menyentuh luka lama dalam jiwa setiap pendengar.
Lagu ini meremukkan hati, namun menenangkan.
“Walaupun bukan ciptaan sendiri, Aina tetap mampu meniupkan roh sehingga terasa begitu peribadi,” kata peminat.