‘Peminat meninggal dunia depan mata, itu paling saya ingat’

LEBIH dua dekad bergelar penyanyi, Adam mengakui insiden seorang peminat wanita berusia belasan tahun meninggal dunia secara mengejut di hadapannya merupakan peristiwa yang paling melekat di ingatan.

Kata Adam atau nama sebenarnya Mohd. Aizam Mat Saman, 42, kejadian yang berlaku ketika sesi ramah mesra jelajah Akademi Fantasia musim dua (AF2) sekitar tahun 2013 itu meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

“Banyak sebenarnya momen yang saya tidak boleh lupakan ketika era kegemilangan AF dahulu terutama sepanjang sesi jelajah dan berpeluang bertemu penyokong setia program realiti ini.

“Paling berbekas adalah berdepan peristiwa menyedihkan apabila seorang peminat secara tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika saya dan kawan lain menghadiri sesi menandatangani autograf. Itu paling saya ingat.

“Gadis berusia 18 tahun itu kemudian disahkan meninggal dunia di hospital. Saya pun ada bertemu keluarga arwah yang ketika itu turut berada di hospital. Memang detik yang menyedihkan,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman konsert Tukang Gempak Adam di Cyberjaya, baru-baru ini.

Menurut penyanyi yang meraih tempat ketiga dalam AF2 itu, peristiwa tersebut mengingatkan untuk sentiasa menghargai insan sekeliling termasuk mereka yang sentiasa menyokong perjalanan karier seninya.

“Jodoh, ajal dan maut ketentuan Allah. Allah lebih sayangkan arwah dan dari situ juga saya selalu ingatkan diri untuk menghargai insan yang baik-baik di sekeliling saya,” ujarnya.

Menurut Adam yang dikenali sebagai Adam AF, hubungan dengan kelab peminat juga semakin akrab apabila saban tahun sejak tamat AF2 mereka kerap mengadakan aktiviti beramai-ramai.

Bahkan tiga kali ‘showcase’ dengan terakhir diadakan dua tahun lalu, selain konsert solo pertamanya pada 24 Januari 2026 diadakan atas inisiatif bersama peminatnya.

“Konsert Tukang Gempak Adam di Galaxy Banquet Hall awal tahun depan dianjurkan syarikat saya, Prynceman Alliance Empire dan CLore (Hair &
Beauty) bersama kelab peminat.

“Persembahan mega ini besar maknanya kepada kami malah selepas tertangguh beberapa kali atas faktor yang tidak boleh dielakkan akhirnya 24 Januari 2026 dipilih menjadi tarikh konsert,” katanya.

Konsert Tukang Gempak Adam bakal menyajikan lebih 25 lagu daripada empat albumnya sejak 2004 serta single baharu.

Terdahulu, selepas menamatkan cabaran di AF2, penyanyi asal Sabah itu mencipta populariti tersendiri terutama dengan imej bandangan iaitu bandana di tangan yang kekal ke hari ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok