Otai seni bawa nama ke pentas politik

KALAU di Malaysia, hanya dua selebriti yang berjaya menjadi wakil rakyat ketika ini iaitu Dira Abu Zahar dan juga Altimet.

Tapi lain pula ceritanya di Indonesia apabila ramai selebriti memilih untuk terjun ke dunia politik dan jadi wakil rakyat.

Menariknya, kebanyakan mereka masih aktif dalam dunia seni walaupun sibuk berpolitik.

Sejak insiden tunjuk perasaan di Indonesia beberapa hari lalu, rupa-rupanya masih ramai tidak tahu bahawa wakil rakyat di sana atau lebih dikenali sebagai Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) kebanyakannya terdiri daripada anak seni.

HibGlam senaraikan beberapa nama bintang terkenal yang menggalas amanah sebagai wakil rakyat tetapi masih aktif dalam dunia muzik dan lakonan.

Ahmad Dhani

PADA 1 Oktober 2024, vokalis kumpulan Dewa 19 iaitu Ahmad Dhani secara rasmi dilantik sebagai ahli DPR Jawa Timur I yang meliputi wilayah Surabaya dan Sidoarjo.

Dalam satu temu ramah, Ahmad Dhani atau nama sebenarnya Dhani Ahmad Prasetyo meluahkan kegembiraannya dan membayangkan wajah arwah bapanya yang pernah menjadi wakil rakyat pada era Soekarno.

Malah, jawatan tersebut dianggap sebagai impian arwah bapanya, Eddy Abdul Manaf yang kini jadi kenyataan.

Penyanyi berusia 53 tahun itu ditempatkan dalam Komisi X yang menguruskan bidang pendidikan, sukan, sains dan teknologi serta kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Pendidikan Dasar dan Menengah serta Pendidikan Tinggi.

Pasha Ungu

SEBELUM menjadi DPR, vokalis kumpulan Ungu iaitu Pasha pernah memegang jawatan sebagai wakil Wali Kota atau Datuk Bandar Palu, Sulawesi Tengah pada 2016 sehingga 2021.

Kini pemilik nama sebenar Sigit Purnomo Said itu melangkah lebih jauh dengan menjadi DPR di Jakarta sehingga 2029.

Pasha tak hanya bersuara soal muzik tetapi turut memperjuangkan isu-isu besar seperti mutu birokrasi, akses kesihatan, isu sosial, agama serta perlindungan hak rakyat.

Pelantun lagu Cinta Dalam Hati itu juga ditempatkan di Komisi VIII yang mengurus soal agama, sosial, bencana, pemberdayaan wanita dan perlindungankanak-kanak.

Melly Goeslaw

SEBELUM bertanding, penyanyi Melly Goeslaw meluahkan keinginannya untuk memperbaiki Undang-Undang Hak Cipta dan membawa suara dunia kreatif khususnya dari Bandung yang terkenal sebagai pusat bakat seni.

Akhirnya, pemilik nama sebenar Melliana Cessy Goeslaw berjaya menjadi ahli DPR di Dapil Jawa Barat I dan dipuji berdisiplin apabila hadir satu jam lebih awal ke mesyuarat rasmi tertinggi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia.

Penyanyi dan komposer berusia 51 tahun itu menyandang jawatan di Komisi X yang fokus hal kebudayaan, pendidikan, sukan dan teknologi.

Melly banyak memperjuangkan nasib bekas atlet dan seniman yang sering dipandang sepi selepas karier mereka berakhir.

Di sisi budaya, pelantun lagu Jika itu mengusulkan konsep muzium interaktif bagi generasi muda termasuk perpustakaan seniman bagi mengenang legenda seperti Titiek Puspa.

Mulan Jameela

PENYANYI Mulan Jameela sebenarnya gagal memenangi kerusi semasa Pemilihan Umum Indonesia atau Pemilu 2019.

Namun, nasib menyebelahinya apabila penyanyi berusia 46 tahun itu dilantik melalui PAW (Pergantian Antar Waktu) menggantikan dua calon lain yang digugurkan melalui keputusan mahkamah atau parti.

PAW adalah proses penggantian ahli Dewan yang berhenti, meninggal dunia, dipecat atau tidak lagi boleh menjalankan tugasnya sebelum tempoh jawatannya tamat.

Isteri kepada Ahmad Dhani itu diberi tugas di Komisi VII yang menangani sektor tenaga, penyelidikan, teknologi dan alam sekitar.

Meskipun tidak melancarkan lagu baharu, dia masih aktif dalam dunia seni dan menerima tawaran persembahan di Indonesia.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok