Tulus syahdu, Juicy Luicy bikin candu

RUANG Inspirasi Fest (RI Fest 2025) baru pertama kali diadakan di Malaysia namun sambutan yang diterima, luar biasa!

Acara yang berlangsung di Megastar Arena, Sungei Wang, Kuala Lumpur pada 17 Ogos lalu berjaya menghimpunkan lebih 8,000 penonton yang hadir dari seluruh Malaysia termasuk negara jiran, Indonesia.

Konsert anjuran Expoindo dan Thrive tersebut membawa dua nama besar dari Indonesia iaitu Tulus dan band yang kini ‘hype’, Juicy Luicy.

Tulus yang umum tahu memiliki suara emas memukau ramai dengan 15 buah lagu popularnya pada sesi pertama konsert RI Fest 2025.

Membuka pentas dengan Interaksi, Satu Kali dan Jatuh Suka, pemilik nama penuh Muhammad Tulus Rusydi itu memukau ramai dengan lantunan vokal gemersiknya.

Seluruh dewan terdiam ibarat terpukau, vokalnya tidak pernah berubah, bahkan semakin luar biasa.

“Saya sudah persiapkan banyak lagu untuk kalian semua. Semoga semua terhibur dengan ‘interaksi’ saya dan kalian,” katanya.

PEMILIHAN Tulus dalam RI Fest 2025 adalah keputusan tepat.

Penonton kemudian dihidangkan dengan Sewindu, Teman Hidup dan Diri yang membuatkan sebilangan penonton menyeka air mata. Lagu Diri ternyata memberi makna besar terhadap mana-mana individu yang tanpa lelah berjuang untuk hidup mereka, penulis pun hampir tersedu-sedan dibuatnya.

Emosi yang disalurkan Tulus dalam setiap patah liriknya, sampai ke jiwa penonton.

Tidak lengkap nyanyian penyanyi berumur 38 tahun itu tanpa lagu Sepatu, Adu Rayu dan Hati-Hati Di Jalan, sekali gus menutup tirai persembahannya pada petang tersebut.

Sayangnya, beberapa lagu kegemaran ramai speerti Pamit, Langit Abu-Abu dan Tergila-Gila tidak disampaikan pada persembahan yang hanya berlangsung sekitar sejam setengah itu.

Namun, dia mengubat jiwa ramai dengan mendendangkan Nala dan Cahaya meski hanya untuk seminit.

Pemilihan Tulus yang kali terakhir mengadakan konsert solo di Kuala Lumpur sekitar tahun 2022 untuk RI Fest 2025 merupakan pilihan tepat.

Sekurang-kurangnya kerinduan peminat untuk melihat Tulus di depan mata terubat.

Galau

Tepat pukul 7.30 malam, tirai pentas kembali dibuka oleh Aizat Amdan selaku penyanyi jemputan sebelum Juicy Luicy mengambil alih pentas.

LUAR biasa. Begitulah semangat dan tenaga peminat yang menghabiskan hujung minggu menyaksikan RI Fest 2025 di Zepp KL, baru-baru ini.

Hanya bertemankan sebuah gitar, Aizat ternyata berjaya membuatkan ribuan mata tertumpu padanya dengan mendendangkan seleksi lagu popular seperti Sungai Lui, Hanya Kau Yang Mampu, Pergi dan Susun Silang Kata.

Antara band menjadi kegilaan generasi muda ketika ini, kemunculan Juicy Luicy di pentas digamatkan dengan sorakan ‘menggila’ para pencinta lagu galau.

Memanaskan pentas, band asal Bandung itu buat pertama kali mendendangkan single terbaharunya, Malapetaka yang baru diluncurkan Julai lalu di Malaysia.

Terlalu Tinggi, Tanpa Tergesa, Mawar Jingga, Asing menjadi antara lagu daripada album pertama mereka, Sentimental dipersembahkan pada malam tersebut.

Rentak lagu catchy tetapi liriknya bikin galau, itu yang dipersetujui peminat band dianggotai Uan (vokalis), Denis Ligia (gitar), Zamzam (gitar), Bina (bass) dan Eggy (drum).

Ibarat hati diremukkan berkali-kali, itu yang dirasai penonton apabila Asing, Lampu Kuning, Lantas dan Tampar didendangkan.

Kata Uan, lagu-lagunya sering mengisahkan tentang individu yang menjadi pilihan kedua, hubungan tanpa status dan cinta tidak kesampaian.

Pentas ditutup meriah dengan lagu ikonik mereka, Sialan. Jika diikutkan, ‘setlist’ kali ini tidak bayak berbeza dengan persembahan mereka di Zepp KL tahun lalu.

Namun, kali ini, penonton berpeluang untuk lebih dekat dengan Uan yang beberapa kali turun dari pentas menyanyi bersama peminatnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok