12 konsert di stadium Webley, Harry Styles pecah rekod

PENYANYI Harry Styles mencipta sejarah apabila diiktiraf Guinness World Records selepas menjadi artis dengan konsert paling banyak secara berturut-turut di Stadium Wembley menerusi satu jelajah konsert.

Bekas anggota One Direction itu melakar rekod selepas menamatkan persembahan ke-12 di stadium ikonik London tersebut menerusi jelajah Together, Together sempena album keempatnya, Kiss All The Time. Disco, Occasionally.

Pada asalnya, Styles hanya dijadualkan mengadakan enam konsert di Wembley, namun permintaan luar biasa peminat menyaksikan enam lagi persembahan ditambah, sekali gus memecahkan rekod terdahulu milik Coldplay yang mengadakan 10 konsert di lokasi sama pada 2025.

Penyanyi berusia 32 tahun itu turut mengatasi rekod bekas kekasihnya, Taylor Swift, sebagai artis solo yang paling banyak mengadakan konsert dalam satu jelajah di Stadium Wembley selepas Swift mencatat lapan persembahan pada 2024.

Sijil Guinness World Records disampaikan kepada Styles dan kru konsert di atas pentas sejurus tamat persembahan terakhir oleh wakil Guinness World Records, Will Munford pada awal bulan ini.

Sebelum ini, Styles pernah menerima pengiktirafan Guinness menerusi lagu As It Was, manakala ketika bersama One Direction, kumpulan itu berjaya memecahkan enam rekod dunia Guinness. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok