[VIDEO] ‘Satu penghormatan’ – KJ tewaskan bekas atlet muay Thai nombor satu dunia

IMPIAN masuk gelanggang tinju menjadi nyata, penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin meraih kegembiraan berganda apabila menewaskan bekas atlet muay Thai nombor satu dunia, Saiful Merican dalam pertarungan sengit, hari ini.

Khairy atau popular dengan panggilan KJ menzahirkan kesyukuran atas kemenangan manis dapat menundukkan bintang sukan seni bela diri campuran (MMA) berusia 37 tahun itu.

“Sebenarnya sejak kecil dulu memang saya minat sukan tinju dan membesar dengan Muhammad Ali, Sugar Ray Leonard serta Mike Tyson.

“Saya juga teringin masuk dalam ‘boxing ring’ (gelanggang) dan tak sangka dapat peluang sebegini pada hari ini.

“Dapat pula beradu tenaga dengan personaliti sukan bela diri dihormati ramai, Saiful Merican atau Saiful ‘The Vampire’ Merican. Ini satu penghormatan,” katanya selepas dinobatkan sebagai juara Clash of Champion Hot FM di ST Rosyam Mall Jalan Kebun.

Difahamkan perlawanan tinju persahabatan dengan Saiful, 37, itu sudah dirancang sejak tahun lalu namun hanya dapat direalisasikan hari ini.

Menurut Khairy lagi, beliau sudah lama mengenali atlet MMA negara itu sejak dulu sekali gus berada satu gelanggang tinju dengannya merupakan penghormatan besar.

“Dua minit terawal tadi menang dia bagi peluang tapi dia tumbuk memang tumbuk betul-betul,” ujarnya.

Khairy turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang terbabit dalam perlawanan berkenaan serta jurulatihnya dan tidak ketinggalan anaknya, Jibriel Ali Jamaluddin selaku cornering atau pembantunya di gelanggang.

Selain pertembungan Khairy dan Saiful, lebih 300 penonton yang berada di lokasi tersebut turut berpeluang mengikuti perlawanan tinju antara seorang lagi penyampai Bekfes Hot FM, AG bersama Adli Goldenboy dengan keputusan seri.

Penyampai wanita, Fara Fauzana pula terpaksa mengakui kekuatan penyanyi Elizabeth Tan yang mengalahkannya dalam perlawanan gusti lengan.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok