DATUK Seri Aliff Syukri, sepotong nama yang sering dihujani kecaman namun masih utuh berdiri melebarkan empayar perniagaannya hari ini.
Lebih dua dekad memahat nama sebagai ahli perniagaan dengan mengasaskan produk kosmetik jenamanya sendiri, D’Herbs, Aliff berjaya mencipta penanda aras sehingga menjadi usahawan contoh dalam kalangan mereka yang baru menceburi bidang tersebut.
Tampak mewah, bergaya dan gah dengan kejayaan dimiliki, Aliff atau nama penuhnya Aliff Syukri Kamarzaman berkata, terlalu banyak cabaran dan dugaan dilalui untuk berada di posisi sekarang.
Tidak mudah untuk berada di kedudukan hari ini, apatah lagi bagi mengekalkan momentum bisnes yang pasti ada turun naiknya.

PERSAINGAN dunia bisnes pada era digital terutama jualan langsung dalam media sosial disifatkan Aliff Syukri sebagai medium survival yang menuntut perlumbaan melariskan jualan. – SYAKIR RADIN
Dilayang soalan sama ada lelah atau tidak menjadi seorang lelaki bernama Aliff Syukri, bapa kepada enam orang cahaya mata itu hanya tersenyum sebelum mengakui masih lagi tidak percaya dirinya mampu bertahan hingga ke tahap sekarang.
“Sejujurnya saya masih tak percaya kekal bertahan hampir 20 tahun dalam dunia perniagaan yang penuh pancaroba ini.
Saya fikir bila umur sudah hampir 40 tahun dan sudah tua, orang akan benci tetapi lain pula jadi.
“Makin viral tapi tak pasti kalau ramai suka saya atau tidak sebab tidak mahu beri jawapan yakin sangat, risau dibenci,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Demi kerja
Aliff berkata, dia pernah terfikir untuk berhenti daripada meneruskan semua yang dilakukan dan menyerahkan segala tugas kepada orang lain.
Namun, perkara tersebut dibuang jauh-jauh dari fikirannya kerana memikirkan perlu menyara keluarga dan membayar gaji lebih 500 kakitangan yang bernaung bawah syarikatnya.
“Saya sudah tua tetapi masih menjerit dan terpekik terlolong sampaikan pernah terfikir masih ada orang nak tengok siaran langsung saya ke?
Saya tahu, mesti ramai benci sebab menjerit dan marah-marah dalam TikTok tetapi itu cara berniaga dan ‘survive’ dalam dunia perniagaan yang sangat kejam ini.
“Saya selalu rasa masyarakat akan benci saya bila sudah tua sebab itu lumrah orang Malaysia, kita bukan Hollywood yang semakin berusia semakin disanjung,” ujarnya.

ALIFF Syukri mengakui pernah berprasangka Siti Nurhaliza ada menggunakan khidmat bomoh untuk kekal di tangga nombor satu negara.
Meski dikelilingi ribuan pengasas kosmetik lain, dia mengakui mengagumi kejayaan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang disifatkan memiliki aura luar biasa.
Dia juga mengakui pernah tertanya-tanya bagaimana Siti Nurhaliza boleh bertahan lama dan kekal disayangi ramai sedangkan umur semakin meningkat.
“Saya pernah beranggapan Siti Nurhaliza akan lupus dan akan dinyahkan dengan kemunculan artis-artis baharu tapi silap.
Sehinggakan saya tertanya-tanya, ‘Mak Esah’ apakah atau bomoh yang dia pakai? Tapi selepas jumpa dia, bukan perkara mistik pun tetapi Siti memiliki aura semula jadi yang luar biasa.
“Bagi saya, aura tak boleh dibeli dan itulah Siti Nurhaliza,” ujarnya.
Bomoh
Berkongsi mengenai aura itu, Aliff berkata, ada segelintir usahawan masih lagi rancak menggunakan khidmat bomoh bagi melariskan jualan mereka.
“Ramai tanya saya, bomoh mana yang saya pakai untuk terus bertahan tetapi hakikatnya tiada!
Mereka tidak percaya dan kata saya menipu sebab bisnes maju bertahun-tahun. Saya tak main bomoh, itu semua syirik!
“Kalau orang lain nak guna cara itu, hak masing-masing untuk lariskan produk mereka cuma sukar untuk bertahan lama dan semua itu ada tarikh luput,” jelasnya.

ALIFF mendedahkan ada usahawan kosmetik menggunakan khidmat bomoh untuk melonjakkan jualan dan meraih kemewahan dalam tempoh singkat.
Ditanya sama ada teringin untuk menggunakan khidmat bomoh bagi merancakkan lagi jualan bisnes, dia mengakui perkara tersebut pernah difikirkannya sebelum ini.
Menurutnya, kegilaan menggunakan khidmat bomoh dalam kalangan pengasas kosmetik hari ini masih lagi rancak bahkan ada yang perlu menunggu giliran.
Kadang-kadang tergugat juga iman untuk cuba selepas tengok banyak bisnes berjaya naik dalam sekelip mata. Tapi jangan risau, saya tak buat pun sebab takut tiba-tiba esok atau lusa mati, macam mana?
“Tapi itulah realiti dunia perniagaan, kotor. Dalam 10 peniaga, tiga pasti akan main bomoh yang selalunya nak dapatkan pelaris dan pemanis wajah supaya orang sentiasa suka tengok mereka kemudian terpengaruh beli produk dijual.
Tak pelik ke kadang-kadang ada yang berniaga tidak sampai setahun tapi sudah beli kereta dan rumah mewah, kalau bukan scam, mungkin guna bomoh.
“Kemudian ada yang wajah cantik kulit cekang, kita pula tak jemu memandang, ada benda lain tu,” dedahnya.
Bagi mengelakkan sebarang perkara tidak baik seperti ilmu hitam atau sihir terpalit pada dirinya, dia mengelak daripada kerap bertemu dengan ramai orang di mana-mana acara.
“Sebagai usahawan pastilah saya ada pendinding sendiri seperti mengamalkan bacaan ayat al-Quran dan selawat sebelum membuat siaran langsung,
Kemudian saya tidak sesuka hati terima makanan atau minuman yang dihantar terutama daripada orang tak dikenali, takut!
“Kemudian saya juga bukan jenis suka bersosial sangat, kawan baik hanya isteri. Saya tak suka berkawan dengan orang sebab boleh mengundang perasaan dengki.
“Sebab itu kurang gemar hadir atau suka-suka muncul ke banyak acara melainkan dibayar,” tuturnya.
Panas baran
Mutakhir ini, dia juga dilabel lelaki panas baran hanya disebabkan kerap memarahi pembantu rumah dan anak-anak ketika siaran langsung.

Aliff berharap netizen tidak terlalu serius dengan karakter anaknya Ammar yang kelihatan seperti kena dera dalam sesi siaran langsung.
Mengakui perkara tersebut, Aliff menegaskan panas barannya bersebab bagi memastikan setiap pekerja berdisiplin dan anak-anaknya sama-sama berusaha mencari rezeki.
“Saya marah-marah bersebab. Bayangkan bayar kepada agensi berbelas ribu tetapi pembantu rumah tak pandai buat kerja, memang saya mengamuk.
Marah anak-anak pula sebab mereka perlu tahu sedikit selok-belok perniagaan, supaya sedar betapa susahnya berniaga.
“Saya tak kisah orang nak cakap saya panas baran atau kuat marah sebab mereka tidak tahu ‘struggle’ kami untuk cari duit,” ujar bintang filem Badang itu.
Dalam masa sama, dia terharu apabila caranya mendidik anak tetap dipuji meski sedar wujud kecaman menuduhnya mendera emosi anak-anak.
“Dalam ruangan komen, ramai tuduh saya dera anak sulung, Ammar Ahyan sedangkan karakter dia memang begitu, tidak pandai berkomunikasi.
Paling lucu ketika siaran langsung, ada yang minta Ammar kelip mata dua kali kalau perlukan bantuan. Kelip-kelip mata buat apa? Ingat saya perogol bersiri ke!
“Tapi itulah komen netizen, saya terhibur cuma tolonglah jangan ambil serius sangat dengan apa yang anda lihat dalam media sosial,” ujarnya lagi. – HIBGLAM
View this post on Instagram