Malaysia ada seorang pahlawan bernama Hang Tuah – Henry Golding

PELAKON antarabangsa kelahiran Malaysia, Henry Golding melahirkan rasa bangga apabila diberi peluang melakonkan watak Hang Tuah dalam filem terbaharunya, The Old Guard 2.

Henry atau nama penuhnya Henry Ewan Golding, 38, menyifatkan peluang menjayakan watak tersebut sebagai satu penghormatan buat pahlawan Melayu, Hang Tuah yang terkenal dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dulu.

Pemilihan watak berkenaan juga dipersetujui pengarah filem tersebut iaitu Victoria Mahoney selepas melakukan penilaian terhadap beberapa nama lain bersama.

“Victoria dan saya yang memilih watak itu. Dia senaraikan beberapa nama dan akhirnya Tuah yang dipilih.

“Dalam sejarah di Malaysia, ada seorang pahlawan bernama Hang Tuah.

Jadi, pemilihan ini adalah tepat ditambah pula dia adalah salah satu wira yang hebat dalam cerita rakyat.

“Begitulah bagaimana watak Tuah dipilih,” katanya dalam satu temu bual.

Tambah Henry, mereka juga menyelitkan beberapa elemen budaya Malaysia termasuk penggunaan senjata keris dan seni pertahahan diri iaitu silat.

“Umum tahu, keris dan silat yang juga seni pertahanan diri di Asia Tenggara khususnya di Indonesia dan Malaysia.

“Saya gembira apabila Victoria terbuka menerima idea tersebut untuk filem ini.

“Teruja apabila berpeluang memberi sisi peribadi untuk watak Tuah,” jelasnya.

Selain Henry, The Old Guard 2 yang ditayangkan menerusi platform Netflix bermula 2 Julai lalu turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Chalize Theron, Uma Thurman, Kiki Layne, Veronica Ngo, Matthias Schoenaerts dan Chiwetel Ejiofor.

The Old Guard 2 merupakan sequel The Old Guard yang ditayangkan pada tahun 2020 mengisahkan Andy lakonan Theron dan bersama rakan-rakan pahlawannya berjuang berdepan dengan pelbagai ancaman untuk melindungi manusia sejagat.

Sementara watak Tuah ialah seorang lelaki yang mengabadikan diri untuk mempelajari jejak yang telah ditinggalkan oleh pahlawan masa lalu menerusi pembacaan dan mengkaji tamadun manusia.

Sepanjang perjalanannya menjejak pahlawan bersifat abadi, Tuah ditemani dengan kerisnya yang disifatkan sebagai senjata berharga dalam melawan setiao ancaman yang muncul. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok