BUKAN ketepikan dia sebaliknya kami sudah ada perancangan rapi untuk Mamat.”
Demikian perkongsian Exists mengenai ketiadaan salah seorang vokalis band itu iaitu Mamat dalam konsert yang bakal berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya pada 4 Oktober depan.
Tidak pernah menyisihkan Mamat yang kini dalam proses pemulihan akibat penyalahgunaan dadah, pemain keyboard Exists dan juga komposer Ajai atau nama penuhnya Mohamad Faizal Maas, 50, berkata, Mamat akan menyertai mereka untuk konsert lebih berskala besar pada tahun depan.
“Buat masa sekarang kami ‘simpan’ dia untuk konsert reunion Exists pada tahun hadapan.
“Sebenarnya ada sahaja persembahan-persembahan kecil yang kami ajak Mamat seperti di Kelantan baru-baru ini.
“Acara sebegitu ibarat pemanas badan untuk Mamat,” katanya kepada HibGlam pada sidang media konsert Exists Premium Live @ PJ, semalam.
Tambahnya, Exists gembira melihat keadaan kesihatan Mamat yang semakin pulih selepas menerima rawatan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Bentong, Pahang.
Mereka bahkan menegaskan tidak pernah memandang serong apatah lagi mahu mengenepikan Mamat sebaliknya sentiasa mendoakan yang terbaik buat dirinya.
Keadaan Mamat sekarang sudah makin baik, malah kami dengar daripada warden dia macam jadi ikon di Pengasih. Macam-macam tugas dia buat.
“Walaupun dia masuk Pengasih tapi pucuk pangkal adalah hatinya yang nak berubah.
Sebagai abang-abang Mamat, kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia supaya apa yang kami capai, dia turut capai dan rasai perkara sama,” katanya lagi.
Mamat kini sudah hampir setahun berada di bawah pengawasan Pengasih untuk rawatan dan pemulihan selepas terpalit kes berkaitan penyalahgunaan dadah.
Terdahulu, Mamat pada 2019 berdepan dua pertuduhan mengambil dadah, bagaimanapun pada 8 Julai tahun lalu dia berjaya dalam rayuan terhadap sabitan dan hukumannya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor.
Rentetan itu, dia dikenakan hukuman denda sebanyak RM4,000 dan dua tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong.
Dalam perkembangan lain, konsert Exists Premium Live @ PJ mengetengahkan konsep lebih ‘intim’ dengan peminat
Harga tiket konsert itu bermula daripada RM368 sehingga RM588 dan boleh didapati menerusi laman sesawang Jiotix Asia. – HIBGLAM