‘Apa kes? Nampak gembira’ – Netizen serbu IG Fikry Ibrahim

SELEPAS dilaporkan perkahwinan di ambang perceraian, akaun Instagram pelakon Fikry Ibrahim menjadi tumpuan apabila netizen mula berkumpul bagi mendapatkan pengesahan mengenai kehadiran isteri, Khalizah Alihan ke mahkamah hari ini.

Rata-rata netizen meninggalkan komen bertanyakan kesahihan mengenai kehadiran isterinya ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada pukul 9.40 pagi tadi dengan persalinan serba hitam.

“Saya datang dari Facebook, apa kes? Nampak gembira saja,” soal netizen.

“Datang dari muka buku (Facebook). Semoga yang baik-baik untuk kalian,” tutur peminat.

“Abang, saya datang untuk kepastian. Betul ke berita perceraian?,” tanya pengikut.

Ramai yang tidak percaya dengan berita berkenaan memandangkan pemilik nama lengkap Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 31, baru sahaja memuat naik gambar mesra bersama isteri yang dipercayai dirakam ketika sedang bercuti.

Hari ini, peguam syarie mewakili Khalizah, Wan Muhammad Afiq Mohd. Razib mengesahkan mengenai sebutan kes perceraian selain memberitahu tidak pasti mengenai kehadiran Fikry.

Muhammad Afiq turut memaklumkan anak guamnya memfailkan perceraian terhadap suaminya pada Mei laki atas alasan tiada lagi persefahaman.

Meski memfailkan cerai, Muhammad Afiq berkata, plaintif masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan suaminya bagi mencapai pendamaian antara mereka.

Sebelum ini, Fikry dan Khalizah selamat melangsungkan perkahwinan pada 12 Februari lalu di sebuah masjid di Jitra, Kedah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok