Ain Edruce jaga bahasa bila bercakap dengan anak-anak

PELAKON dan pengacara, Ain Edruce mengakui sangat mementingkan penggunaan perkataan yang positif ketika berkomunikasi dengan dua anaknya, Soraya dan Shaziman.

Ain, 35, berkata, perkara tersebut dianggap penting buat dirinya kerapa mahu memastikan anak-anaknya membesar menjadi individu yang beradab dalam komunikasi.

Saya akan marah anak-anak kalau mereka menggunakan perkataan yang tak sepatutnya.

“Contohnya, saya tegur mereka guna perkataan bosan (boring) yang boleh membawa maksud dan ‘vibe’ negatif jika dituturkan dengan cara yang salah.

“Ini cara saya untuk didik mereka tidak bercakap guna perkataan atau nada yang kasar,” katanya ketika ditemui pada sidang media Melodi Terhangat di sini, baru-baru ini.

Bukan hanya anak-anak, dia juga perlu melatih dirinya untuk sentiasa bertutur dengan perkataan yang sopan.

“Dalam pada kita melatih anak-anak untuk bercakap sopan, kita juga perlu lakukannya sendiri bagi mengelak bercakap dengan kata-kata yang tidak sepatutnya depan mereka di rumah.

Sebenarnya saya juga perlu mempersiapkan mental anak-anak yang mungkin akan terdedah dan terpengaruh dengan perkataan-perkataan buruk ini di sekolah,” katanya lagi.

Mengulas tentang perkongsian dalam Threadsnya mengenai seorang kanak-kanak yang bercakap dengan kasar terhadap Soraya di sebuah taman permainan baru-baru ini, dia mengakui terkejut ketika melihat situasi tersebut.

“Saya terkejut kerana kanak-kanak itu bercakap agak kasar, ‘otak tak ada ke?’ pada Soraya tetapi nasib anak saya macam tak faham dia hanya tergelak.

“Budak itu kecil lagi tetapi menggunakan perkataan sedemikian. Saya mula terfikir, dari mana dia belajar bercakap begitu.

“Namun, saya tidak menyalahkan kanak-kanak tersebut sebab mungkin dia terdedah dengan perkataan sebegitu dari persekitaran dan orang sekeliling,” ujarnya.

Terdahulu, perkongsian sama turut meraih pelbagai respons terutama golongan ibu bapa yang menzahirkan kerisauan mengenai adab dan penggunaan bahasa kanak-kanak zaman sekarang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok