‘Kru penggambaran tak cukup rehat, pelakon kena tepati masa’

CULAS menjaga disiplin, pelakon Hun Haqeem meluahkan rasa terkilan dengan sikap tidak profesional segelintir artis yang sering datang lambat ke lokasi penggambaran.

Bagi Hun atau nama lengkapnya Haqeem Hermy, 28, kegagalan mematuhi masa bukan sahaja menjejaskan kualiti kerja, malah merosakkan suasana harmoni di set penggambaran.

“Bercakap tentang etika kerja, agak mengecewakan apabila pelakon gagal menunjukkan prestasi yang baik.

“Sejujurnya, banyak kali juga saya melihat perkara itu berlaku. Malah ada pelakon yang selalu datang lambat ke set penggambaran.

“Pada penghujungnya, ini adalah tentang menghormati kerja orang lain. Seronok bekerja apabila pelakon tahu menghormati skop pekerjaan itu, persekitaran akan menjadi lebih harmoni.

“Namun apabila berlaku kejadian begini, saya rasa kecewa,” katanya semasa Tayangan Perdana dan What’s Next On Viu Cinta Dalam Sekam, kelmarin.

Meskipun tidak mahu ambil serius tentang perkara tersebut, pelakon drama Kampung People itu lebih bimbang akan implikasi kelewatan tersebut terhadap kebajikan kru belakang tabir.

“Saya mengambil pendekatan untuk memahami situasi orang lain. Kadang-kala kita tidak dapat mengelakkan perkara luar jangka, saya tak kisah perkara itu.

“Pada masa sama kita kena lebih banyak sabar kerana tak mahu membuang emosi yang akan digunakan dalam lakonan. Saya sentiasa berfikiran seperti itu, belajar mengawal emosi sendiri kerana itu yang perlu dijaga.

“Cuma yang saya risaukan adalah orang lain sebab ada kru penggambaran yang tak cukup rehat, perkara ini akan memberi kesan kepada keseluruhan produksi,” tambahnya.

Selain itu, Hun tidak gemar meluahkan perasaan atau menyindir rakan sekerja di platform media sosial kerana menganggap bukan solusi bijak untuk menyelesaikan masalah disiplin.

“Meluahkan dalam media sosial bukan jalan penyelesaiannya. Kita masing-masing sudah matang, boleh berfikir baik buruk.

“Lebih elok selesaikan perkara ini secara berdepan daripada bercakap tentangnya dalam media sosial. Ada masanya kita memang perlu hadap individu bermasalah ini.

“Mungkin kita kena bersangka baik dan sama-sama memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa. Apa yang diperlukan adalah kesabaran, dan mungkin individu yang datang lambat itu akan berubah apabila melihat pelakon senior yang lain datang awal ke set,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Hun terlibat dalam drama terbaharu Viu berjudul Cela yang bakal ditayangkan pada Ogos ini.

Selain Hun, drama tersebut turut dibintangi Nabila Huda, Zarif Ghazzi, Datuk Seri Eizlan Yusuf, Lisdawati, Zain Saidin dan Ellyza Azizi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok