24
Penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah akan berkongsi pentas dalam konsert Desaku Mendunia yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Mei ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.
Konsert kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga turut menampilkan Yabang Khalifah, Zam dan Along dari program Feel Da Starz, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Zeppo Youngster.
Menariknya, konsert ini akan diiringi oleh orkestra daripada 53 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) FELDA Trolak yang dibimbing oleh Raja Muzzafar Shah Raja Abdullah dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail.
Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail menyifatkan pelajar tersebut cukup Istimewa kerana mampu bermain muzik dengan baik meskipun mereka bukanlah pemuzik profesional.
Apabila kali pertama bekerja dengan mereka saya cukup tersentuhlah. Kerana anak-anak peneroka. Anak-anak peneroka yang berlatarbelakangkan ibu bapa ataupun datuk nenek mereka daripada Felda.
“Memang menjadi tanggungjawab sosial kami di RTM untuk membantu, memberi inspirasi. Saya melihat pelajar-pelajar, anak-anak peneroka ini sesuatu yang luar biasa dan cukup membanggakan.
“Semua rakyat Malaysia harus menonton konsert itu nanti apabila disiarkan. Tahniah sekali lagi kepada pengurusan Felda,” katanya pada sidang media konsert Desaku Mendunia di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.

Majlis sidang media konsert Desaku Mendunia di Hotel Seri Pacific.
Sudah biasa bekerjasama dengan pasukan orkestra dari sekolah elit, Mokhzani tabik dengan semangat pelajar yang bermula dari sifar sehingga ke tahap membanggakan keluarga mereka.
“Bagi saya yang sudah bekerja dengan pemuzik profesional dan pelajar dari sekolah elit yang sudah pandai main muzik, pelajar MRSM FELDA Trolak ini berbeza. Mereka adalah daripada ‘zero to hero’.
Hampir 70 peratus pelajar ini baru belajar muzik beberapa bulan dan pencapaian mereka sudah cukup membanggakan saya,” ujarnya.
Selain diundang dalam Konsert Desaku Mendunia, pelajar MRSM FELDA Trolak itu juga bakal mewakili Malaysia bertanding dengan 11 buah negara di International Festival of Wind Orchestra di Prague, Republik Czech pada 20 dan 21 Jun depan.
Konsert Desaku Mendunia dibuka secara percuma kepada umum dan akan disiarkan di TV2 pada 31 Mei depan pada pukul 9 malam. – HIBGLAM