KONSERT GenKRU yang memasuki malam ketiga (malam ini) dan keempat (esok) benar-benar mencetuskan fenomena, jualan tiket laris macam pisang goreng panas bahkan video-video perkongsian penonton juga meledak bertali arus dalam media sosial sejak minggu lalu.
Paling mengejutkan, kemunculan kumpulan Elite dan Adam AF yang mengujakan ramai sehingga berhari-hari media sosial dibanjiri dengan persembahan mereka dalam konsert tersebut.
Mengundang nostalgia, khalayak mula menyelongkar senarai bintang yang pernah dilahirkan KRU. Bukan satu atau dua tetapi banyak. Hakikatnya, KRU berjaya melahirkan belasan mungkin juga puluhan artis yang pernah menyerikan industri seni tanah air.
HibGlam menyenaraikan empat kumpulan kelahiran KRU Records yang pernah meledak dan mencipta fenomena tersendiri suatu ketika dulu.
Elite
Elite merupakan kumpulan penyanyi wanita Malaysia yang ditubuhkan KRU Records pada 1995.
Elite menjadi band girls menyengat dengan wanita-wanita cantik sebagai taruhan Abby Abadi, Azza, Linda Rafar, Sasha Saidin dan Watie Sadali.
Kumpulan itu berjaya mencetuskan ledakan tersendiri dan antara lagu popular mereka yang masih menjadi siulan ramai ketika ini ialah Tamparan Wanita, Manisnya Senyumanmu, Trauma dan G.I.G.
Diiktiraf sebagai kumpulan penyanyi wanita paling lama bertahan di Malaysia, sepanjang 10 tahun aktif, mereka telah menjual lebih 100,000 unit album. Tidak lama selepas pelancaran Tamparan, Abby mengundurkan diri daripada Elite sekitar 1998 sebelum diikuti Linda Rafar dan Watie.
X-Factor
X-Factor menjadi kumpulan penyanyi lelaki pertama direkrut KRU Records sekitar 1999.
Ketika itu, seramai lima anak muda berjaya terpilih selepas menjalani uji bakat selama setahun. Maka terbentuklah X-Factor yang dianggotai Fendi, Zack, Shah, Danny dan Ivan.
Meledak sekitar awal tahun 2000-an, X-Factor bagaimanapun tidak bertahan lama dan bubar dua tahun kemudian.
Semua ahli kumpulan memilih haluan masing-masing dengan menjadi pelakon dan penyanyi solo.
Antara lagu kumpulan X-Factor yang popular sehingga kini adalah Sehangat Api, Tak Sanggup dan 7231564.
Phyne Ballerz
MEMBAWA vibe Latin, Phyne Ballerz merupakan kumpulan R&B Malaysia yang ditubuhkan sekitar tahun 2000 dianggotai Nine, Billy, Munir dan Beego.
Kumpulan ini menempa kejayaan sepanjang kerjaya muzik mereka selama enam tahun dan sempat menerbitkan dua album studio.
Mereka terkenal dengan single popular seperti Monte Carlo, Vida, Hasrat dan Jangan Pisahkan.
Sekitar 2005, anak didik KRU Records itu akhirnya berpecah, namun Nine dan Billy disatukan sebagai kumpulan duo dengan nama pentas Billy Zulkarnain.
Forteen
KEGILAAN wanita, Forteen merupakan kumpulan penyanyi berkonsepkan pop balada Malaysia di bawah syarikat rakaman KRU Records.
Dianggotai One, Ameerais, Ariz dan Izzue Islam, Forteen mula aktif dalam dunia seni suara sekitar 2011 dan mencetuskan fenomena tersendiri.
Antara lagu hit mereka termasuk Berdua Bersatu dan Kita.
Sayangnya, pada 18 November 2018, Izzue mengejutkan ramai apabila berundur daripada Forteen meninggalkan tiga ahli lain. Sehingga kini, Izzue bergerak sebagai pelakon dan pengacara.
The Lima
DIANGGOTAI tiga jejaka dari Indonesia, Taura, Bony dan Arif, The Lima merupakan juara pertama Gang Starz sekitar 2007.
Hasil kemenangan, The Lima berjaya membawa pulang wang tunai RM340,000, trofi serta kontrak rakaman bersama KRU Music Group (KMG).
Impak menjadi anak didik KRU Music, mereka meledak menerusi lagu Buronan Cinta dan Separuh Masa. Lagu Kau Ada Dia dendangan mereka dipilih menjadi runut bunyi filem Sepi.
The Lima bagaimanapun berpecah pada 2009 dan meneruskan kerjaya solo di Indonesia. Pada tahun lalu, The Lima kembali mengubat kerinduan peminat apabila menyertai Gegar Vaganza musim ke-11 dan berjaya menduduki tempat keenam pada konsert akhir. – HIBGLAM