‘Tiwikarma tentang Palestin, terkejut ada yang sanggup ‘bedah’ lirik’

KEMENANGAN kumpulan K.O.I di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang berlangsung di Unifi Arena Bukit Jalil semalam menepati ramalan dan direstui ramai.

Persembahan lagu Tiwikarma yang sarat mesej nilai kemanusian mendapat ‘standing ovation’ daripada penonton yang hadir.

Sebelum AJL40 berlangsung lagi, ramai netizen sudah meramalkan lagu ini bakal diangkat sebagai juara. Malah netizen sempat ‘membedah’ lirik lagu ini satu persatu dan menemui keunikan tentang perkataan tersembunyi Palestin.

Menurut salah seorang ahli K.O.I dan penulis lirik Tiwikarma iaitu Tuan Nicky, lirik yang menjadi tular dalam media sosial itu ditulis dalam masa 30 minit.

“Saya dapat panggilan daripada Achoi dia tanya sama ada saya mahu serta projek baharunya. Tapi dia minta saya buat lirik dalam masa yang singkat.

Katanya lagu ini tentang Palestin. Semua orang tahu isu yang sedang berlaku di Palestin. Jadi saya tulis lirik itu dengan memasukkan elemen ‘hidden code’. Saya rasa dengan cara itu boleh mempercepatkan saya menulis lirik lagu itu.

“Kepada yang dapat tangkap ‘hidden code’ itu, tahniah. Saya pun terkejut bila ada yang sanggup luangkan masa ‘bedah’ lirik lagu kami,” katanya ketika ditemui pada sidang media bersama pemenang-pemenang AJL40, semalam.

Sementara itu, K.O.I yang dianggotai lima penyanyi bertopeng iaitu Mya Nana, Khaza Raflex, Achoi, Hemo Globin dan Tuan Nicky mengakui tidak menyangka mereka akan dinobat sebagai juara AJL40.

“Sejujurnya untuk dapat kedudukan ‘top 3’ pun kami tak pernah terfikir. Kami hanya ingin buat persembahan yang baik sahaja.

“Bila penonton dalam arena menjerit nama K.O.I sebelum juara diumumkan pun kami dah rasa seram sejuk. Sebab ada ramai lagi penyanyi senior yang hebat.

Kami tak pernah berkarya untuk menang anugerah. Apa yang paling penting mesej yang ingin disampaikan dalam lagu. Tapi tak sangka pula lagu Tiwikarma ini menjadi dan diangkat pula sebagai juara AJL40,” kata Mya Nana.

Ditanya apa yang akan dilakukan dengan wang kemenangan sebanyak RM100,000, kata K.O.I mereka belum ada sebarang perancangan kerana tidak sangka akan menang.

Sejujurnya tak terfikir lagi nak buat apa dengan wang kemenangan itu. Mungkin kami akan ke luar negara untuk bawa karya Malaysia merentasi sempadan,” kata mereka.

Selain K.O.I yang bergelar juara, AJL40 turut mengiktiraf lagu Tak Adil nyanyi Aisha Retno sebagai naib juara manakala tempat ketiga pula menjadi milik Ryenald Guntabid menerusi lagu Lumangad Oku Dika.

Marsha Milan pula meraih anugerah vokal terbaik buat pertama kali. Kategori persembahan terbaik pula menjadi milik Aina Abdul. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok